Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berkata, ini kerana sejak enam minggu lalu kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengenakan cukai terhadap petrol meskipun harga minyak mentah dunia mengalami penurunan.

Justeru, Khairy berharap Kementerian Kewangan atau Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna dapat memberi penjelasan sementara menunggu pengumuman harga runcit baharu petrol pada 1 Januari depan.

Malah, beliau juga berharap agar mekanisme baharu mekanisme harga automatik (APM) yang akan diperkenalkan Januari depan, didedahkan kepada rakyat supaya memudahkan rakyat membuat semakan terhadap harga jualan petrol pada masa hadapan.

“Memandangkan kerajaan Pakatan Harapan sering melaungkan ketelusan sebagai agenda pentadbiran mereka, saya mengharapkan agar mekanisme baharu APM yang diperkenalkan bermula Januari depan didedahkan kepada rakyat agar lebih mudah untuk membuat semakan terhadap harga jualan petrol pada masa hadapan. 

“Saya juga mahu kerajaan mengumumkan sama ada ditentukan harga siling sebelum subsidi diberi atau tidak, tetapi apa yang pasti, keputusan kerajaan Pakatan Harapan untuk mengembalikan sistem APM mengikut harga apungan semasa menjadi bukti jelas bahawa kaedah yang digunakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini adalah tepat dan sangat sesuai dilaksanakan,” katanya menerusi laman Facebook beliau, hari ini.

Semalam, bekas Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mahu kerajaan menyemak harga petrol secara mingguan, sekali gus membolehkan harga RON95 turun sebanyak 20 sen seiring dengan kejatuhan harga minyak dunia.

Katanya, berdasarkan formula secara bulanan yang diguna pakai ketika ini, kiraan akan menunjukkan harga RON95 mengikut APM masih lagi tinggi daripada RM2.20 seliter.

Sabtu lalu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa kerajaan Pakatan Harapan telah mengenakan cukai sebanyak 30 sen seliter ke atas petrol RON95, sejak awal bulan lalu.

Kata beliau, berdasarkan harga Brent semasa iaitu sekitar AS$52 setong, harga petrol RON95 sepatutnya dikenakan antara RM1.90 sehingga RM2.00 sejak sebulan lalu berbanding harga pada ketika ini iaitu RM2.20. - UTUSAN ONLINE