Jika DUN Rhu Rendang dalam kawasan Parlimen Marang di Terengganu boleh dianggap sebagai kubu terkuat Pas di negeri itu, situasi sama juga berlaku kepada Pas Pulau Pinang di Permatang Pasir.

Bezanya, Rhu Rendang umpama 'ibu' kepada kerusi-kerusi DUN yang dimiliki Pas di Terengganu kerana wakil rakyatnya ialah Presiden parti berkenaan, Datuk Seri Abdul Hadi Awang manakala Permatang Pasir pula diibaratkan seperti 'benteng terakhir' Pas di negeri yang ditadbir oleh kerajaan DAP.

Kebelakangan ini pula, timbul cakap-cakap mengatakan akan wujud kerjasama politik antara Pas dan Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang untuk kerusi itu.

BN didakwa bersedia memberi laluan kepada Pas untuk mempertahankan DUN Permatang Pasir dengan syarat Pas pula akan menyokong mereka untuk merebut kerusi Parlimen Permatang Pauh daripada PKR.

Sejauh mana kebenarannya tidak diketahui kerana Pas dikatakan telah mula memasang hajat untuk 'menakluk' Permatang Pauh seperti yang pernah dilakukan ketika era Allahyarham Zabidi Ali, 40 tahun lalu.

Jika benar, ini bermakna Pas juga tidak akan memberi 'laluan mudah' kepada BN untuk merampas semula Permatang Pauh.

Di pihak BN sendiri khususnya menerusi UMNO Bahagian Permatang Pauh yang diterajui Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Said atau lebih mesra disapa sebagai Cikgu Zaidi, tidak boleh dinafikan banyak usaha dilakukan untuk menawan kubu kuat Datuk Seri Anwar Ibrahim itu.

Kesungguhan beliau seharusnya membangkitkan rasa 'gerun' sama ada dalam kalangan pemimpin Pas atau Pakatan Harapan terutama  PAN yang dilihat begitu berminat untuk menduduki kerusi DUN Permatang Pasir ketika ini.

Hal ini terbukti apabila beberapa pemimpin daripada parti 'serpihan' Pas yang dikatakan bersifat lebih 'liberal' itu dilaporkan telah mula 'menjelajah' ke seluruh Permatang Pasir untuk meraih sokongan pengundi di situ.

Yang pasti, BN khususnya UMNO tidak akan membiarkan Permatang Pasir menjadi medan 'satu lawan satu' antara Pas dengan PAN kerana jika diselak kembali sejarah, kerusi itu juga pernah menjadi kubu BN antara tahun 1986 hingga 1995 lalu menerusi calonnya iaitu Adnan Ramli dan Ahmad Saad.

Segala-galanya kini terserah kepada pengundi di Permatang Pasir untuk membuat penilaian  dalam menentukan yang mana satu 'intan' atau yang mana satu 'kaca' menjelang PRU-14.

Pada masa sama, pengundi juga sepatutnya sedar pihak mana yang lebih banyak memperjuangkan nasib mereka khususnya ketika menerima tekanan daripada kerajaan DAP Pulau Pinang berbanding pihak hanya tahu 'menangguk di air keruh' sahaja.-UTUSAN ONLINE