Perkara itu disahkan oleh Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Pre­siden, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam kenyataan hari ini.

“Setakat ini, saya secara peribadi belum dan tidak ada me­nerima apa-apa permohonan pun daripada mana-mana Ahli Parlimen UMNO yang telah keluar parti untuk menyertai semula UMNO.

“UMNO sentiasa membuka pintu kepada sesiapa saja yang ingin menyertai dan menjadi ahli UMNO. Syarat dan proses untuk menjadi ahli adalah tertakluk kepada apa yang diperuntukkan Perlembagaan dan peraturan pentadbiran parti,” kata beliau.

Semalam, ter­sebar laporan men­dakwa enam Ahli Parlimen yang mengumumkan keluar parti itu bulan lalu akan menyertai semula UMNO.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa malah mengesahkan parti itu ada membincangkan perkara tersebut ketika ditemui semasa berkempen di Cameron Highlands semalam.

Enam Ahli Parlimen yang kini menjadi Ahli Parlimen Bebas meninggalkan UMNO pada 14 Disember lalu terdiri daripada Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid; Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad dan Ahli Parlimen Tasik Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya.

Tiga lagi ialah ialah Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Mohamad Fasiah Mohd. Fakeh dan Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.