Saifuddin Nasution
Saifuddin Nasution

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu masih diperingkat cadangan dan beliau menyerahkan kepada ahli-ahli untuk berbahas serta berbincang mengenainya atas semangat demokrasi di dalam parti.

Tambahnya, di sebalik cadangan itu juga, beliau turut melihat ada `mood’ dalam kalangan ahli PKR supaya jawatan Presiden yang dipegang Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail ketika ini tidak dicabar.

“Ini berdasarkan pengalaman Dr. Wan Azizah yang telah memimpin PKR selama hampir 20 tahun selain kredibiliti beliau sendiri sebagai wanita pertama yang menjadi Presiden parti politik dan Timbalan Perdana Menteri di negara ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, dalam masa sama, beliau turut bersetuju dengan pandangan supaya Anwar apabila dilantik sebagai Perdana Menteri kelak adalah atas kapasiti Presiden PKR sekali gus wajar bertanding pemilihan kali ini.

“Semua ini adalah pandangan yang perlu diperhalusi dan kita tunggu sehingga pencalonan dibuka hujung bulan ini,” katanya.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Pemuda PKR, Dr. Afif Bahardin mencadangkan Anwar bertanding jawatan itu bagi membolehkan beliau kembali aktif di dalam parti dan politik serta menjadi Presiden seterusnya Perdana Menteri kelapan. – UTUSAN ONLINE