Abdul Rahman

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, pakatan itu berjanji yang mereka akan ber­belanja secara berhemah, memotong cukai dan mahu rakyat memilih mereka, tetapi semua itu hanya janji kosong.

Katanya, jika mereka mahu berbelanja secara berhemah, sepatutnya perbelanjaan mengurus menurun bukannya meningkat.

“Seperti bajet alternatif tahun-tahun sebelum ini, tidak ada rancangan bagaimana mereka mahu menampung kos membeli konsesi-konsesi tol. Tiada rancangan yang jelas bagaimana mereka akan membayar RM40 bilion pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasio­nal (PTPTN) daripada institusi-institusi kewangan atau bagaimana mereka mahu menjimatkan RM20 bilion setiap tahun dengan membanteras rasuah.

“Ini belum mengambil kira fakta bahawa menghapuskan tol, menyediakan pendidikan percuma dan meningkatkan gaji minimum akan menelan belanja beratus bilion ringgit untuk jangka masa panjang,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Pakatan Harapan yang diketuai DAP hari ini membentangkan bajet alternatif untuk memancing simpati rakyat dengan janji-janji manis.

Tambah Abdul Rahman, Pakatan Harapan tidak akan memberitahu rakyat bahawa perbelanjaan mengurus kerajaan DAP Pulau Pinang telah mening­kat berkali-kali ganda daripada RM252.3 juta pada 2007 kepada RM825.9 juta pada 2016 dan Sela­ngor daripada RM1.15 bilion (2008) kepada RM2.34 bilion (2016).

Di Pulau Pinang juga, jelasnya, konsep cekap, akauntabiliti dan telus (CAT) yang kononnya diamalkan kerajaan negeri tidak dapat menghalang Ketua Menteri mereka daripada menyalah guna kuasa untuk kepentingan peri­badinya.

Menurut Abdul Rahman, rak­yat patut sedar bahawa bajet yang akan memberi kesan positif kepada mereka adalah bajet yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat ini.

“Kita tidak patut memperjudikan masa depan kita dengan bergantung kepada janji-janji pembangkang yang tidak masuk akal,” ujarnya.