Panel lima hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tan Sri Md. Raus Sharif berpendapat, walaupun perisytiharan itu dibuat dalam sidang akhbar, tindakan beliau merupakan keputusan dalaman Sidang Dewan dan tidak boleh dicabar di mahkamah seperti yang termaktub di bawah Perkara 72 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Mahkamah berpendirian, hak istimewa dan kekebalan Sidang DUN turut termaktub di bawah Perkara 77 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959 yang mana tiada ahli boleh dibawa ke mahkamah untuk kes sivil atau jenayah berkaitan prosiding Dewan.

Sehubungan itu, panel berkenaan membenarkan rayuan Chang Khim terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 18 Februari 2011 yang membenarkan saman pemula Badrul Hisham Abdullah dan mengisytiharkan beliau masih seorang wakil rakyat bagi DUN berkenaan.

Keputusan sebulat itu turut dicapai oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Ahmad Maarop, Tan Sri Suriyadi Halim Omar,Tan Sri Zainun Ali dan Tan Sri Abu Samah Nordin. 

Oleh yang demikian, pengisytiharan bertarikh 19 Januari 2011 bahawa kerusi DUN Pelabuhan Klang yang dimenangi oleh Badrul Hisham dikosongkan ekoran ketidakhadirannya selama enam bulan pada tahun 2010, adalah sah. - UTUSAN ONLINE