Paling mengejutkan hinggakan kubu kuat Pakatan Harapan (PH) di beberapa buah kampung Orang Asli turut dikuasai oleh BN.

Rahsia sulitnya ialah bekas anggota Batalion Senoi Praak yang bergerak sebagai perisik dan kempen untuk Ramli Mohd. Nor, juga bekas pegawai kanan polis.

Tinjauan di beberapa kampung Orang Asli mendapati kebanyakan mereka yang terlibat berkempen sejak 10 hari lalu ialah bekas anggota Senoi Praak.

Selain mahir dengan kawasan terbabit, mereka juga mempunyai kepakaran dalam mengumpul maklumat.

“Sebaik penamaan calon kami telah bergerak dari kampung ke kampung termasuk ke kubu kuat lawan,” katanya yang enggan dikenali.

Sementara itu Ramli ketika ditemui di Kampung Menson, iaitu kampung kelahirannya berkata, beliau akan berusaha mengatasi masalah jalan yang menghubungkan kampung-kampung Orang Asli di sini.

Menurut beliau, apabila jalan baik disediakan barulah mudah untuk mereka mengangkut hasil pertanian, keluar untuk bekerja dan waktu kecemasan untuk membawa keluar pesakit.

“Perkara kedua yang mahu saya tingkatkan ialah kesedaran terhadap pentingnya pendidikan dalam kalangan Orang Asli.

“Saya sendiri tidak akan berada di tempat sekarang jika tiada pendidikan,” kata Ramli yang merupakan graduan Universiti Teknologi Mara.

Ramli pulang ke kampungnya di Meson bagi bertemu sanak-saudaranya dan mengucapkan terima kasih kepada semua yang menyokong beliau. - UTUSAN ONLINE