Presidennya, Datuk Lokman Noor Adam (gambar) berkata, tindakan itu dipersoalkan berikutan Najib bukan seorang penjenayah yang ingin melarikan diri.

Jelasnya, Najib juga memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa itu sebelum ini.

“Adakah beliau penjenayah yang ingin melarikan diri daripada proses perundangan? Bukankah sebelum ini beliau memberikan kerjasama penuh untuk hadir ke SPRM tanpa sebarang masalah? Tidak bolehkah cara sama digunakan oleh SPRM untuk mengundang Datuk Seri Najib ke mahkamah bagi proses pendakwaan?” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Lokman turut mempersoalkan tindakan Ketua Pengarah SPRM, Datuk Seri Shukri Abdull yang dianggap masih lagi menaruh dendam terhadap Najib.

Katanya, ini bukan kedaulatan undang-undang yang dilaungkan oleh kerajaan Pakatan Harapan.

“Kenapa sehingga kini tidak ada sebarang tindakan ke atas laporan polis terhadap Shukri oleh saya yang jelas telah membuat pengakuan secara langsung di kaca televisyen bahawa beliau telah gagal melaporkan dua cubaan merasuah kepadanya oleh seorang ahli Parlimen berhubung kes 1MDB ini,” katanya.