Pencalonan Muhamad Radhi, 53, diumumkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada program ceramah Gelombang Hijau Kedah PRU-14 di Markas Pas Cawangan Alor Ibus di sini malam tadi.

Beliau yang merupakan anak jati Pokok Sena itu bakal bertembung dengan bekas Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar yang bertan­ding atas tiket PAN serta calon daripada Barisan Nasional.

Dalam pada itu, seorang lagi muka baharu, Muhamad Riduan Mohd. Othman, 43, diumumkan menjadi calon Parlimen Kuala Kedah yang disandang Pengerusi PKR Kedah, Dr. Azman Ismail.

Abdul Hadi turut mengumumkan calon Pas bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kundur yang akan ditandingi Pesuruhjaya Pas Kedah, Dr. Ahmad Fakhruddin Fakhrurrazi.

Kerusi DUN tersebut sebelum ini disandang oleh calon Pas, Datuk Phahrolrazi Mohd. Zawawi yang bakal bertanding di DUN Alor Mengkudu.

Pas dijangka mengumumkan semua calonnya yang akan bertan­ding kerusi DUN dan Parlimen seluruh negara secara serentak pada 19 April ini.

Sementara itu, Abdul Hadi berkata, parti itu akan menampilkan lebih ramai calon muka baharu yang berpotensi pada PRU-14 ini.

Menurutnya, calon muka baharu itu menunjukkan kepelbagaian latar belakang bukan sahaja dalam kalangan tokoh agama tetapi juga ikon masyarakat setempat, profesional dan ahli korporat.

“Pengumuman tiga calon yang bertanding (di Kedah) itu memberi gambaran keseluruhan calon Pas bagi menghadapi PRU tahun ini,” katanya.

Pada masa sama, Abdul Hadi menambah, beliau yakin Pas akan dapat menawan semula kerusi Parlimen Pokok Sena memandangkan sokongan kepada parti itu semakin meningkat menjelang PRU ini.

“Setakat ini, ramai ahli Pas yang menyedari kesilapan (menyertai PAN) sebelum ini telah kembali menyertai Pas,” katanya.