Bekas penyelaras PPBM Kluang, Arjuna Putra Ali berkata, le­bih 400 aduan dibuat kepada ROS sejak Oktober tahun lalu, namun sehingga hari ini tiada tindakan konkrit diambil.

“ROS, mengapa sampai hari ini tiada tindakan? Kenapa beri muka kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad? Apa lagi yang ditunggu ROS jika didapati tidak betul atau melanggar peraturan ROS? Bubarkan sahaja PPBM.

“Adakah ada kemungkinan besar yang ‘makan dedak’ dan wujud tali barut Dr. Mahathir (Pengerusi PPBM) dalam ROS dan jika ada, siasat segera individu ini,” katanya kepada pemberita di Villa Casa Bianca di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya dan ROS sebelum ini mempunyai hubungan baik sepanjang siasatan, malah semua bukti sahih termasuk rakaman percakapan dan aduan rasmi sudah dihantar mengikut format selain sudah dirujuk kepada pihak guaman.

“Jadi, saya dakwa memang ada kemungkinan besar dalam ROS ada tali barut dan petualang. Ini maksud kita minta integriti, ROS jangan beri muka kepada parti yang terang-terang salah.

“Itu yang kami kecewa sebab kita dah beri hubungan baik kepada ROS, jadi kenapa tiada tindakan konkrit diambil sedangkan parti atau NGO (pertubuhan bukan kerajaan) lain yang tidak ikut peraturan sudah diambil tindakan?” soalnya.

Arjuna Putra berkata, petisyen aduan yang dihantar kepada ROS membabitkan lima perkara iaitu pelaksanaan mesyuarat agung tahunan (AGM), yuran keahlian, pendaftaran keahlian tanpa pengetahuan penama, ketua bahagian dilantik disifatkan sebagai kroni pemimpin tertinggi dan kegagalan mengemukakan penyata kewangan.

Justeru, beliau yang mewakili pengadu terdiri daripada ahli akar umbi mendesak ROS mengambil tindakan tanpa prejudis terhadap aduan yang dibuat mereka sebelum ini.

“Jika tiada penyelesaian, saya bersama-sama semua pengadu akan mengadakan demonstrasi aman di hadapan ibu pejabat ROS,” katanya yang mahu tindakan segera diambil.