Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lepar, Abd. Rahim Muda, 53, yang merupakan seorang daripada tiga muka baharu yang dilantik berjanji akan melaksanakan tanggungjawab berkenaan sebaik mungkin dan menimba pengalaman daripada rakan-rakan Exco lain.

“Dalam landskap politik yang tidak memihak kepada BN, saya yakin kerajaan negeri dapat me­lakukan yang terbaik demi kemajuan negeri,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pengurniaan Surat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar dan Ahli Majlis Kerajaan Negeri di Istana Abu Bakar di sini hari ini.

Majlis berkenaan disempurnakan Pemangku Raja Pahang,Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Sementara itu, ADUN Bebar, Datuk Fakhruddin Mohd. Ariff berkata, beliau dimaklumkan pelantikan berkenaan pada pagi ini dan berlapang dada menerima amanah yang diberikan itu.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Pekan akan bersama-sama dengan barisan Exco yang lain untuk terus membangunkan negeri pada penggal ini.

“Saya akan meneliti dan melihat perkara sepatutnya memandang­kan saya adalah muka baharu dalam barisan Exco,” katanya.

Sementara itu, ADUN Kuala Sentul, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin yang dilantik semula sebagai Exco buat penggal kedua bersyukur dan yakin dapat menggalas tanggungjawab yang diamanahkan.