Sebaliknya, beliau secara peribadi  berpendapat, Pengerusi Bersatu itu wajar diberi peluang untuk terus menerajui kepimpinan negara sehingga tempoh perkhidmatannya tamat.

Katanya, perkara sama dikongsikan oleh banyak pihak yang bertemu beliau, menyatakan sokongan mereka agar Dr. Mahathir terus diberi peluang hingga tempoh perkhidmatannya berakhir.

"Bukan saya nak kempen minta beliau kekal ke tak, tapi saya dengar banyak yang datang kepada saya minta Tun Mahathir habiskan tempoh perkhidmatannya.

"Beliau mahu melakukan banyak perkara, beri beliau masa. Tetapi itu cadangan biasa dan dalam politik perkara itu mungkin boleh berlaku, saya tak mahu komen lebih daripada itu sebab seseorang sedang menunggu untuk menjadi Perdana Menteri," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ab. Rashid diminta mengulas laporan dakwaan terdapat rancangan dalam Pakatan Harapan untuk mengetepikan Dr. Mahathir.

"Tak ada, ini cerita siber trooper, rasa sayalah. Banyak siber trooper buat hal sekarang ni. Makin banyak duit mereka dapat makin banyak twisting yang mereka lakukan," katanya.

Ab. Rashid berkata, secara peribadi beliau melihat Dr. Mahathir telah melaksanakan tugas dengan baik dalam usaha memulihkan semula keadaan negara.

" Secara peribadi, saya berpendapat beliau perlu diberi peluang untuk terus memimpin, jika gagal beliau meletakkan parti beliau dalam risiko," katanya. - UTUSAN ONLINE