Malah, BN mempunyai ba­nyak pilihan alternatif untuk dilaksanakan selepas ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, BN juga mempunyai peranca­ngan tersendiri.

“Kita ada banyak alternatif. Kita ada banyak parti Cina di negara ini yang bersedia untuk bekerjasama dengan kita,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat bersama senator-senator BN di Menara Dato Onn di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Naib Pengerusi BN, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.

Ketika ditanya adakah MCA sudah membuat keputusan untuk keluar BN, Ahmad Zahid menjawab, pihaknya setakat ini masih belum menerima sebarang keputusan rasmi mengenainya.

Katanya, BN tetap menghormati sebarang keputusan parti-parti politik teras sedia ada.

“Sebagaimana yang ramai mengetahui, kita mempunyai lima parti teras ketika ini.

“Kita mengharapkan apa pun keputusan, dimaklumkan secara rasmi kepada kami untuk tindakan-tindakan politik selanjutnya oleh BN,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid berkata usaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menawan Sarawak tidak akan berjaya, berdasarkan pengalaman UMNO.

Ini berikutan Bersatu adalah bukan merupakan parti yang menepati cita rasa penduduk pribumi di sana.

Malah, UMNO sendiri membuat keputusan untuk tidak berkembang di negeri itu bagi menghormati cita rasa politik pribumi di negeri berkenaan.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini kerana politik di Sabah dan Sarawak agak unik berban­ding di Semenanjung.

“Saya amat menghormati kehendak rakyat pribumi di Sarawak. Sabah dan Sarawak agak unik berbanding di Semenanjung.

“Apabila UMNO membuat keputusan untuk tidak mengembangkan sayapnya di Sarawak, ia bagi menghormati cita rasa penduduk pribumi di Sarawak yang sudah tentunya berlainan di Semenanjung. Sudah tentunya kami yakin rakyat Sarawak akan menolak parti berkenaan,” katanya.

Kewujudan Bersatu di Sa­rawak dilancarkan Pengerusi­nya, Tun Dr. Mahathir Moha­mad di Bintulu semalam.