Pengerusi Biro Kebajikan UMNO (Bikum), Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, UMNO adalah parti yang bekerja, berbakti, membela dan menjaga kebajikan rakyat serta bukan lakonan semata-mata.

“Buktinya boleh dilihat dan rakyat merasainya sama ada secara terus oleh UMNO atau melalui dasar serta polisi yang UMNO juga Barisan Nasional (BN) cadang­kan dan ia dilaksanakan oleh kerajaan.

“Dengan itu, UMNO dan BN adalah parti yang mengutamakan kebajikan rakyat kerana UMNO serius dalam berbakti kepada masyarakat tanpa mengira masa, tempat dan latar belakang mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Program UMNO Bantu Rakyat 2.0 di pekarangan Pejabat UMNO Bahagian Bukit Katil di sini hari ini.

Dalam program yang turut dihadiri Ketua UMNO Bahagian Bukit Katil, Tan Sri Mohd. Ali Rustam itu, kira-kira 1,500 penduduk di kawasan Parlimen Bukit Katil yang merupakan golongan sasar telah mendapat sumbangan daripada Bikum.

Sementara itu, Shamsul Anuar memberitahu, Bikum telah menjelajah empat kawasan iaitu Jasin, Masjid Tanah, Tangga Batu dan Bukit Katil bagi memberikan sumbangan kebajikan kepada mereka yang memerlukan.

Beliau turut berharap penduduk di kawasan Bukit Katil akan mengembalikan kuasa kepada BN dalam PRU-14 bagi membolehkan pembangunan di sini dapat berjalan dengan lancar.

“Saya berharap supaya pe­ngundi di kawasan ini dapat menggunakan peluang yang terbaik pada PRU-14 nanti untuk mengundi BN kerana mengikut rekod sebelum ini, BN telah banyak berjasa serta membela rak­yat,” ujarnya.

Sementara itu, Mohd. Ali turut yakin Parlimen Bukit Katil dapat dirampas kembali oleh BN setelah mendapat pelbagai reaksi daripada masyarakat yang menunjukkan mereka merasakan kehilangan berhubung pembangunan dan kebajikan di kawasan tersebut.

“Kita sudah kehilangan lima tahun untuk memberikan yang terbaik kepada penduduk-penduduk di kawasan Parlimen Bukit Katil dan inilah masanya untuk para pengundi memikirkan keperluan masa depan mereka dengan membuat penilaian sepanjang tempoh tersebut,” katanya.