Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, sepatutnya bantuan seperti itu diberikan sejak dari dahulu ketika pakatan pembangkang mula menerajui Selangor dan bukannya selepas akan berakhirnya penggal kedua pemerintahan.

“Kita hairan mengapa bantuan diberikan setelah memerintah dua penggal, sedangkan saya baharu berada di Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) setahun sudah mampu memberikan bantuan demi rakyat.

“Malah, KPKT selama ini telah turun padang memberikan peruntukan tetapi mengapa mereka sekarang mula menggelupur hendak bagi bantuan?" soalnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melawat Rumah Pangsa Impian di Bandar Saujana Putra di sini, hari ini.

Mengulas mengenai kerja-kerja merobohkan dua rumah bekas pegawai masjid Lapangan Terbang Antarabangsa Subang, Noh berkata, kerajaan negeri di bawah Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilihat tidak pandai menguruskan masalah berikutan gagal membantu menyelesaikannya.

“Oleh demikian, kita akan membantu dengan menyampaikan bantuan rumah dan rumah kedai kepada mangsa esok," ujarnya.