Kenyataan itu adalah sebagai menjawab kepada penegasan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali semalam bahawa terdapat isu tertentu dalam parti yang memerlukan kenyataan terbuka.


Saifuddin berkata, PKR sebagai sebuah parti reformasi yang dinamik telah membuka ruang seluas-luasnya kepada pimpinan dan anggotanya supaya memanfaatkan setiap platform pembuat keputusan yang disediakan dalam parti.


Katanya, platform-platform itu termasuk kongres tahunan parti, mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Biro Politik PKR dan Pekeliling Setiausaha Agung yang dikeluarkan dari semasa ke semasa. 


“Saya berpendapat sesebuah pertubuhan termasuklah PKR, proses membuat keputusannya (adalah) sangat jelas.


“Jadi, semua platform itu adalah platform yang tersedia untuk parti sama ada ahli biasa atau pun pimpinan Pusat, negeri atau cabang boleh manfaatkan untuk menyampaikan keluhan, rungutan dan sebagainya,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di sini hari ini.


Mohamed Azmin semalam dilaporkan mempertahankan bantahan terbukanya berhubung pelantikan parti yang dibuat Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan menyifatkan bahawa ada isu tertentu yang memerlukan kenyataan terbuka.


Jelas Mohamed Azmin, tindakannya itu tidak bererti beliau tidak peduli dengan saluran yang disediakan parti bagi menyatakan pandangan.


Beliau juga menegaskan sudah berjumpa Anwar beberapa kali sebelum mengeluarkan kenyataan berkenaan. - UTUSAN ONLINE