Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, apabila mesyua­rat Biro Politik PKR bersidang, semua pandangan yang menjadi asas kepada bantahan berkenaan akan diambil kira sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Setakat ini, calon belum ditentukan. PKR lazimnya mengambil kira semua pandangan yang dikemukakan dan kita masih dalam proses untuk mengenal pasti nama-nama calon sebelum dimuktamadkan,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai bantahan Badan Bertindak Jentera Pilihan Raya DUN Rantau yang menolak Timbalan Ketua Cabang PKR Rembau, Dr. S. Streram sebagai calon PH dalam PRK DUN tersebut.

Antara sebab penolakan itu ialah, Streram yang juga merupakan Penyelaras DUN Rantau itu bukan merupakan anak jati kawasan berkenaan dan dikhuatiri akan ditolak oleh pengundi tempatan.

Mengulas lanjut, Saifudin berkata, seperti sedia maklum, Streram merupakan calon PH yang menerima watikah Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) namun, kegagalan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menyebabkan Datuk Seri Moha­mad Hasan menang.