Sabtu ini bakal menjadi penentu sama ada kerusi DUN yang kosong berikutan kematian penyandang­nya, Ng Tien Chee akibat kemala­ngan jalan raya pada Julai lalu akan kekal milik Pakatan Harapan (PH) atau bertukar tangan kepada MCA.

Pertembungan satu lawan satu antara Naib Ketua Wanita DAP Bahagian Serdang yang mewakili PH, Wong Siew Ki dengan wakil MCA, Tan Chee Teong turut menjadi tumpuan pemerhati serta penganalisis politik tanah air.

Manakan tidak, PRK tersebut dilihat sebagai eksperimen besar MCA yang bertanding menggunakan logo parti sendiri, bukannya lambang dacing Barisan Nasional (BN) sebagaimana kebiasaannya.

Selepas mencatatkan keputusan buruk dalam dua siri pilihan raya umum (PRU) sebelum ini, keputusan MCA menggunakan logo sendiri itu dilihat sebagai eksperimen parti untuk mengukur sejauh mana sokongan rakyat, khususnya masyarakat Cina terhadap parti tersebut.

Tidaklah mahu disifatkan sebagai ‘hidup mati’ kepada MCA, tetapi sebarang keputusan daripada PRK ini sudah tentunya memberi impak besar kepada parti komponen BN itu.

Selain itu, yang mencuri tumpuan adalah apabila Pas secara terbuka menyatakan sokongan kepada MCA dalam PRK DUN Balakong.

Bukan sekadar menyatakan sokongan, malah Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan muncul dalam ceramah MCA pada kempen di DUN Balakong. Senario yang tidak pernah terlintas dalam fikiran orang ramai.

Bertanding menggunakan logo sendiri, bekerjasama dan mendapat sokongan Pas, menjadikan hasil eksperimen MCA dalam PRK kali ini sangat ditunggu-tunggu.

Bagi PH pula yang bertan­ding kali pertama menggunakan logo gabungan parti itu, tiada apa yang dijangkakan selain dianggap sebagai ‘pilihan’ untuk mempertahankan kerusi tersebut.

Persoalannya, mampukah Siew Ki sekurang-kurangnya mengekalkan majoriti 35,538 undi yang diperoleh mendiang Tien Chee pada PRU-14 selepas segala isu nasional yang berbangkit sepanjang kempen PRK se­perti kajian semula terhadap Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) serta pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Sama-sama kita nantikan sama ada PH menepati ramalan atau MCA melakar kejutan.