Salleh Said Keruak

Menteri Komunikasi dan Mul­timedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak berkata, Pakatan Harapan yang diketuai DAP hanya me­nge­mukakan dokumen tersebut­ bersandarkan angan-angan sema­ta-mata kerana mengetahui segala yang disenaraikan itu tidak perlu ditunaikan kecuali jika mereka mem­peroleh kuasa pemerintahan.

Justeru katanya, pemimpin-pemimpin Pakatan Ha­rapan yang di­ke­­­tuai DAP hanya mempermainkan harapan dan impian rakyat melalui bajet yang tidak praktikal itu.

“Peraturan asas per­akaunan ialah pen­dapatan anda mes­ti sepadan atau me­lebihi perbelanja­an. Anda tidak boleh mengurangkan pendapatan sambil meningkatkan per­belanjaan dan mendapat keuntungan pada masa yang sama. Anda tidak boleh berbelanja lebih daripada apa yang diperoleh.

“Negara-negara Eropah terma­suk United Kingdom (UK) sendiri menghadapi defisit yang besar kerana bajet me­reka seperti apa yang dicadangkan oleh Pakatan Harapan. Adakah mereka tidak belajar apa-apa dari Eropah?” kata­nya menerusi blog beliau, sskeruak.blogspot.my hari ini.

Kelmarin, Pakatan Harapan yang diketuai DAP membentangkan ba­jet alternatif yang dilihat hanya sekadar mengulangi janji lama dan dapat dijangka oleh semua pihak iaitu menghapuskan cukai barang dan perkhidmatan (GST) serta tol, selain menjanjikan pendidikan tinggi percuma.

Bagaimanapun, pakatan pembangkang itu sehingga kini masih gagal dalam menyediakan pelan yang konsisten iaitu tidak berjaya me­nerangkan bagaimana segala yang dijanjikan percuma tersebut dapat ditanggung pada masa hadapan.

Dalam pada itu, Salleh berkata, sebagai parti-parti yang menawarkan diri sebagai kerajaan alternatif, pendekatan politik tidak bertanggungjawab seperti itu amat mengecewakan.

Kata beliau, Pakatan Harapan yang diketuai DAP itu sepatutnya berhenti melakukan permainan sedemikian dan kembali kepada realiti.