MUSTAPA MOHAMED

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, selain itu, pakatan pembangkang itu sekali lagi menjanjikan pendidikan tinggi percuma.

Walau bagaimanapun, beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, pakatan pembangkang itu sehingga kini masih gagal dalam menyediakan pelan yang konsisten iaitu tidak berjaya menerangkan bagaimana segala yang dijanjikan percuma tersebut dapat ditanggung pada masa hadapan.

“Faktanya, penghapusan GST akan meninggalkan lubang besar dalam perolehan kerajaan yang perlu dipenuhkan. Selain daripada berkongsi pelan untuk menampung kejatuhan dalam perolehan, mereka (Pakatan Harapan) hanya bergantung kepada pemotongan cukai yang akan mengakibatkan penggunaan lebih tinggi dan pengumpulan cukai,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Tambah Mustapa, agenda ekonomi hanya boleh diyakini jika perbelanjaan yang dirancang disokong dengan langkah-langkah penjanaan hasil yang diperlukan untuk pembangunan.

Sehubungan itu, beliau berharap matlamat utama rakyat tidak diseleweng oleh langkah populis dan tidak lestari seperti mana yang digariskan dalam bajet alternatif tersebut.

“Untuk pakatan politik yang berterusan menyebarkan dakwaan bahawa Malaysia menuju muflis di bawah kerajaan Barisan Nasional, mereka sebenarnya yang membawa negara ini ke arah itu,” ujarnya.

Menurut Mustapa, bajet yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat ini akan lebih bertanggungjawab bagi menjana status ekonomi berpendapatan tinggi, berbeza dengan tawaran pihak pembangkang.