Budiman Mohd. Zohdi
Budiman Mohd. Zohdi

Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd. Zohdi berkata, jika dilihat pada rekod bajet alternatif pembangkang beberapa tahun kebelakangan ini dapat disaksikan bagaimana mereka secara tidak bertanggungjawab menjanjikan bulan bintang kepada rakyat.

Namun pada masa yang sama juga katanya, setiap tahun pendirian mereka berubah-ubah.

“Contoh mudah adalah GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan). Pada suatu ketika mereka berjanji untuk menghapuskan GST, pada suatu ketika pula mereka akan kekalkan GST.


“Begitu juga janji mereka tentang PTPTN (Perbadangan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional). Dahulu mereka janji akan menghapuskan PTPTN, pada tahun ini pula mereka hanya berjanji untuk menangguhkan pembayaran PTPTN kepada graduan baru bergaji kurang RM4,000,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.


Menurut Budiman, bekas perdana menteri, Tun Dr. Mahathir berulang kali menyatakan sebelum ini pemberian Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) adalah suatu bentuk rasuah oleh pihak kerajaan.

Apa yang menghairankan kata beliau, dalam bajet alternatif pembangkang ini mereka telah menyatakan kepentingan BR1M kepada rakyat terutamanya golongan yang memerlukan bantuan.

“Mereka mengakui keberkesanan BR1M dalam mengurangkan tekanan kos sara hidup an mereka akhirnya berjanji untuk meneruskan pemberian BR1M.


“Sebelum ini juga pemimpin pembangkang menggunakan penarikan subsidi gula untuk menghentam kerajaan, tetapi dalam bajet alternatif ini, mereka telah menyatakan tidak akan mengembalikan subsidi gula dan pada sama mengulang gesaan kerajaan agar rakyat mengambil gula pada kadar yang perlu sahaja demi kebaikan kesihatan.


“Kalau dibaca sehingga habis bajet alternatif pembangkang ini, dalam mukasurat 76 tentang naratif keluarga di Malaysia pada tahun 2030, pembangkang secara jelas menyatakan kerajaan BN berdekad-dekad gagal membina Lebuhraya Pan-Borneo.

“Adakah secara tidak langsung mereka memperleceh Pengerusi mereka, Tun Dr. Mahathir yang lebih dua dekad menjadi perdana menteri tetapi gagal membawa perubahan besar untuk Sabah dan Sarawak,” soal beliau.

Namun kata beliau, mengikut rekod, Perdana Menteri Najib Razak belum sampai sedekad pun menjadi Perdana Menteri, tetapi kita boleh lihat Lebuhraya Pan-Borneo sedang rancak dijalankan.


“Saya sebagai rakyat Malaysia berasa sangat bersyukur mereka ini tidak menjadi kerajaan. Sudahlah pakatan lama mereka musnah, ditubuhkan pula pakatan baru yang tidak jelas arahan dan siapa ketuanya. Dasar dan janji mereka juga berubah-ubah yang menunjukkan mereka ini langsung tiada pendirian dan tidak layak menjadi kerajaan. 

“Jika mereka ini menjadi kerajaan, kita tidak pasti bagaimana mereka mampu mengemudi bahtera negara ini,” ujar beliau.


Sehubungan itu beliau meminta rakyat Malaysia melihat dengan sudut pandang yang lebih luas tentang kredibiliti pihak pembangkang ini kerana apa yang pasti, bajet alternatif mereka hanyalah sekadar madah politik untuk mengaburi mata rakyat.

“Bertahun-tahun mereka melakonkan peranan yang sama,” katanya.