Mentang-mentang yang bercakap itu Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, beliau jadi sasaran dalaman termasuk rakan-rakan mesra Pakatan Harapan (PH).

Namun tidak sampai pun dua minggu, benarlah apa Abdul Rashid ungkapkan itu apabila kecoh Tok Batin di Cameron Highlands diugut seorang pemimpin PKR andai tidak memberi sokongan kepada calon PH dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen itu tidak lama lagi.

Dan hari ini pula, tular gambar seorang aktivis PH mengagihkan wang yang dijelaskan sebagai pembayaran balik kos petrol kepada sukarelawan. Namun ramai mahukan siasatan dijalankan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Abdul Rashid sebagai bekas Pengerusi SPR tentunya sudah masak dengan permainan politik, cuma silapnya beliau tidak berselindung di sebalik frasa demokrasi yang indah seperti dilakukan sebahagian pemimpin muda dalam partinya dan PH.

Ini termasuk memasang impian suci murni melihat jentera kerajaan tidak digunakan ketika pilihan raya. Barang kali ada menteri yang mohon cuti tahun ketika turun bantu kempen.

Maka ugutan pada Tok Batin itu bukanlah luar biasa, yang luar biasa adalah mereka yang tidak mempercayai laporan berita tersebut.

Akhirnya semua dua kali lima kerana kemenangan adalah sasaran utama dalam pilihan raya. Lagi pun siapa yang bergelumang dengan politik untuk berdakwah? Semua untuk kuasa. Cuma benda ini nampak salah kalau ‘kantoi’.

Maka yang lebih penting pengundi perlu menunaikan hak mereka tanpa takut. Pilih dengan bebas berdasarkan pertimbangan sendiri siapa yang terbaik. Kalau ada orang bagi duit ambil, bagi kain pakai, undi rahsia. Guna balik ungkapan itu.

Bagi baru yang nak acah-acah minat dengan politik, ingatlah tak kira pemimpin parti mana semuanya adalah manusia, bukan malaikat. Tiada siapa sempurna. Mereka boleh melakukan hal sama apabila di atas.

Sebabnya kuasa dan salah guna saling ber­iringan. Sebab itu, frasa yang terbit daripada Lord Acton masih kekal relevan hingga hari ini walaupun telah lebih satu abad diungkapkan.

Kata ahli sejarah Inggeris abad ke-19 itu, kuasa menyebabkan kecenderungan kepada rasuah atau dalam bahasa Inggerisnya power tends to corrupt. Tiada siapa terkecuali. -UTUSAN ONLINE