NORAINI AHMAD

Ketuanya, Datuk Dr. Noraini Ahmad turut mempersoalkan bagaimana menggerakkan kontraktor baharu ke tapak pembinaan yang sedang berjalan boleh menjimatkan kos operasi.

Padahal, jelasnya, kerja-kerja bawah ta­nah MRT2 kini sudah 40 peratus siap de­ngan baki kerja berjumlah RM9.6 bilion daripada jumlah kos yang diagihkan sebanyak RM15.47 bilion.

“Sepatutnya, kerajaan dan MMC-Gamuda (MMC Gamuda KVMRT (T) Sdn. Bhd.) mencari jalan penyelesaian untuk kos kerja bawah tanah yang dikatakan menjadi punca penamatan kontrak syarikat tersebut.

“Wanita UMNO bimbang selepas ini kontrak terbabit tentunya akan diberikan kepada kontraktor asing yang kemudiannya menggunakan kakitangan berpengalaman dari negara mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Tony Pua semalam berkata, kerajaan tidak membatalkan projek kerja bawah tanah bagi MRT2, sebaliknya kontrak berkenaan akan diberikan kepada kontraktor yang boleh menjalankan operasi pada kos le­bih rendah.

Noraini menambah, bagi meredakan kemelut, Kementerian Kewangan sepatutnya prihatin de­ngan mengambil kira komitmen 20,000 pe­kerja yang bekerja siang dan malam bagi membina saluran pengangkutan itu.

Tegasnya, MMC-Gamuda juga telah membuktikan keupayaannya me­nyiapkan projek Transit Aliran Massa 1 (MRT1), malah difahamkan telah di­sempurnakan di bawah bajet dan lebih awal dari tempoh yang ditetapkan.

“Saya juga khuatir penamatan kontrak berkenaan hanya akan mendedahkan MMC-Gamuda kepada tindakan undang-undang untuk pampasan daripada pekerja, subkontraktor, pembekal, pengeluar dan lain-lain,” katanya.