Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, malah perkara itu sudah menjadi amalan SPR sejak sekian lama bagi memastikan setiap PRU yang dilaksanakan berjalan lancar dan adil.

Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, isu tersebut sengaja ditimbulkan kerana pihak pembangkang kini ketandusan isu termasuk belum menjawab fitnah tentang kehadiran 40,000 warga Bangladesh sewaktu kempen PRU-13.

“Kalau tak tahu jangan bercakap (jemput badan bebas) kerana setiap kali PRU kita (SPR) memang ada jemput badan bebas luar negara. Saya sendiri pernah mewakili Malaysia menjadi wakil badan bebas ke pilihan raya-pilihan raya utama di luar negara.

“Pembangkang kini tiada isu melainkan terus melemparkan tuduhan kononnya PRU tidak adil,” katanya dalam sidang akhbar ketika ditemui selepas tamat program Jualan Sentuhan Rakyat Parlimen Arau di pekarangan Masjid Muhammadiah di Guar Gajah, Pauh di sini hari ini.

Beliau mengulas gesaan PH diketuai DAP baru-baru ini yang mahu menjemput pasukan pemantau pilihan raya bebas daripada Sekretariat Komanwel dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk memantau perjalanan PRU-14.

Sementara itu, dalam program yang bermula pukul 9 hingga 11 pagi, kira-kira 500 ekor ayam habis dilelong pada harga RM5 seekor dalam tempoh kurang sejam.

Turut dijual pada harga lebih murah ialah pelbagai jenis ikan seperti kembung, selayang dan cencaru iaitu pada harga RM5 sekilogram serta barangan keperluan harian.

Dalam pada itu, beliau mencabar pembangkang supaya menganjurkan jualan amal seperti mana dilakukan kerajaan Barisan Nasional (BN) di seluruh negara ketika ini, demi membantu rakyat menghadapi isu kenaikan harga barangan.

“Janganlah hanya pandai menuduh dan memburuk-burukkan kerajaan (kononnya untuk menghadapi PRU) kerana saya sendiri telah melakukan ini (membantu rakyat) sejak menjadi wakil rakyat pada 1995 lagi,” - UTUSAN ONLINE