Ketua UMNO Bahagian Bachok, Datuk Dr. Awang Adek Hussin berkata, perkara itu direalisasikan menerusi institusi pendidikan sedia ada ditambah dengan pembinaan Kolej Profesional Mara (KPM)dan pembangunan pusat-pusat tahfiz al-Quran lain.

Malah menurutnya, Kerajaan Persekutuan sudah meluluskan peruntukan awal berjumlah RM100 juta bagi pembinaan KPM yang akan membolehkan 1,000 pelajar luar bandar mendapat pendidikan percuma di bawah tajaan Mara.

“Majlis pecah tanah di kawasan Beris Kubur Besar akan dilaksanakan dalam tempoh yang terdekat sebelum kerja-kerja menambak lokasi projek dimulakan.

“Pembangunan itu akan memberi kesan positif terhadap perniagaan di Pasar Beris Kubur Besar, sektor perumahan dan nilai hartanah setempat,” katanya selepas menghadiri Program Kanvas Minda sempena Program Bachok Berselawat anjuran Kelantanfm di Pantai Irama, di sini hari ini.

Awang Adek berkata, dalam aspek kerohanian dan kepentingan ukhrawi, BN akan memastikan pusat-pusat tahfiz al-Quran di daerah ini yang dikatakan tidak tersusun, mendapat pembelaan yang sewajarnya.

Katanya, hampir keseluruhan pusat tahfiz di Bachok masih tidak mendaftar dengan Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) serta Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) selain tidak mematuhi syarat keselamatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

“Mereka gagal menyediakan prasarana yang disyaratkan yang memerlukan anggaran kos penyelenggaraan yang tinggi sehingga mencecah RM60,000.

“Mana mereka hendak dapatkan sumber kewangan itu? Pembiayaan makanan pelajar dan hal ehwal pengurusan pun masih memerlukan sumbangan dermawan. Jadi BN berjanji membantu meringankan bebanan pusat-pusat tahfiz,” katanya. - UTUSAN ONLINE