Azwan berkata, sebagai individu yang ‘tidur sebantal’ dengan Azmin, dia tahu segala rahsia abangnya itu selama ini.

“Bertahun-tahun saya simpan rahsia dia tapi apa saya dapat? Depan saya bukan main baik lagi, belakang.. dia cakap saya pondan lorong dekat arwah mak, sampai bila saya nak diam?

“Saya tak fikir arwah mak nak memfitnah dia kerana saya kenal arwah mak saya macam mana. Sebab itu saya nak mintak dia sumpah laknat betul atau tidak dia cakap begitu dengan arwah mak sebab sebelum ini dia menafikan,” katanya ketika ditemui pemberita di Perhimpunan Agung UMNO 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Terdahulu, Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos bersama Azwan beramah mesra dengan pengunjung yang hadir di perhimpunan tersebut.

Sementara itu Jamal berkata, hasratnya untuk menjadikan Azwan sebagai calon wakilnya untuk bertanding di Bukit Antarabangsa termakbul.

“Azwan menunjukkan harapan yang kita (Barisan Nasional) boleh menawan dan mengalahkan Azmin dan merampas semula Selangor.

“Kita akan berusaha mengembalikan Selangor kepada pucuk pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE