Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Datuk Saifuddin Abdullah yang juga Menteri Luar berkata, khabar angin mendakwa dua pemimpin itu akan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) adalah tidak benar.

“Mereka masih ahli PKR, mereka berdua juga kekal sebagai ‘orang kuat’ PKR. Jadi, perkara itu (sertai Bersatu) hanya khabar angin,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Anjuran Persatuan Tionghoa Kuantan di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah di sini hari ini.

Majlis itu disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Perbandaran negeri, Abd. Rahim Muda.

Yang hadir sama Pengerusi Perayaaan Tahun Baru Cina 2019 anjuran Gabungan Persatuan Tionghoa Kuantan, Datuk Seri Ng Chong Keong.

Selasa lalu, Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi, menafikan khabar angin itu dan menganggapnya sebagai berita palsu.

Semalam, Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan turut menafikan perkara itu dan menganggap ia adalah berita yang diulang semula oleh pihak tertentu yang tidak senang dengan kerajaan Pusat ketika ini. - UTUSAN ONLINE