Sudahlah pelbagai dolak-dalik diberikan, terbaharu Mohamed Azmin yang kepemimpinannya terpalit dengan pelbagai skandal khususnya melibatkan Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) yang mana beliau adalah pengerusinya mendakwa, IBR perlukan penambahbaikan.

Ironinya, ketika Mohamed Azmin memberi alasan yang mencetuskan pelbagai tanda-tanya mengapa kerajaan PKR Selangor dilihat begitu gerun dengan IBR, kerajaan negeri-negeri dikuasai pembangkang lain seperti Kelantan dan Pulau Pinang sudah menandatangani usaha dibuat SPRM itu.

“Kita (kerajaan PKR Selangor) menyambut baik usaha untuk membanteras rasuah dan salah guna kuasa. Apabila kita dimaklumkan (oleh SPRM) mengenai cadangan IBR ini, kita dapati ikrar tersebut perlu ada penambah­baikan,” dalih Mohamed Azmin.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Selangor International Business Summit 2017 di Setia Alam di sini, hari ini.

Pada 16 Ogos lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad melahirkan kekecewaan beliau selepas kerajaan PKR Sela­ngor menolak IBR dan semalam pula, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Wan Ramli Wan Abdullah menggesa kepemimpinan Mohamed Azmin supaya segera berbuat demikian.

Dalam perkembangan sama, Mohamed Azmin mendakwa, apa yang dilakukan oleh kerajaan ne­geri sekarang adalah jauh lebih efektif dalam menangani gejala rasuah serta salah guna kuasa berbanding inisiatif IBR yang digerakkan SPRM.

Dakwanya, kerajaan negeri mewajibkan semua exco dan pegawai kanan kerajaan negeri menandatangani borang pengisytiharan kepentingan atas setiap kertas mesyuarat yang dibawa dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada setiap Rabu.