Ahli Parlimen Santubong, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, larangan itu hak kerajaan Sarawak bertujuan untuk menjaga kepentingan dan melindungi negeri daripada elemen yang boleh mengganggu keamanan dan kemakmuran.

"Dia (Azmin) perlu kaji dulu sejarah dan belajar mengenai kandungan Perjanjian Malaysia 1963... apa yang kita tidak mahu ialah tindakan pihak ini mengganggu keharmonian kita semata-mata nak menjual politik mereka di sini," katanya.

Wan Junaidi yang juga Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, ditemui pemberita selepas menyempurnakan majlis pecah tanah Surau Al Amin, Kampung Stunggang Melayu Baru, Lundu di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Azmin kerana mempersoal kuasa Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem yang menghalang kemasukan individu tertentu ke Sarawak.

Wan Junaidi berkata, keputusan kerajaan negeri menghalang individu tertentu memasuki negeri ini, bukan dibuat berdasarkan kepentingan peribadi tetapi disebabkan aspirasi dan kehendak rakyat Sarawak.

Katanya, kerajaan negeri tidak mengamalkan sikap berat sebelah kerana bukan sahaja menyekat pemimpin dan anggota parti pembangkang, malah juga Barisan Nasional (BN) daripada memasuki negeri ini.

"Cara kita berpolitik di sini berbeza dari Semenanjung, proses berkempen juga dijalankan secara aman tanpa sebarang kekacauan," kata beliau. - BERNAMA