Sultan Sharafuddin Idris Shah
Sultan Sharafuddin Idris Shah

Perkenan itu dimaklumkan Setiausaha Sulit kepada baginda, Datuk Mohamad Munir Bani menerusi satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan di sini hari ini.

Menurutnya, perbincangan di antara baginda dengan Mohamed Azmin yang dijadualkan berlangsung kira-kira pukul 11 pagi di Istana Bukit Kayangan itu dianggap penting dalam memastikan pentadbiran serta pembangunan Selangor terus berjalan lancar pada masa depan.

“Pertemuan penting ini adalah membincang serta menyelesaikan masalah berkaitan pentadbiran negeri Selangor sebelum Mohamed Azmin menunaikan umrah selama seminggu bermula 6 Jun ini.

“Ia juga merupakan pertemuan Mohamed Azmin dengan baginda sebelum beliau melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar Selangor selepas Hari Raya Aidilfitri iaitu pada 19 Jun 2018,” katanya.

Utusan Malaysia difahamkan, selain hal ehwal pentadbiran negeri, Mohamed Azmin berkemungkinan mengadakan perbincangan termasuk mendapatkan pandangan daripada Sultan Selangor berhubung senarai individu yang akan dilantik sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.

Mohamed Azmin akan melepaskan jawatan yang disandangnya sejak dua penggal lalu selepas dilantik sebagai Menteri Kabinet dalam pentadbiran Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang bertanggungjawab dalam hal ehwal ekonomi pada 21 Mei lalu.

Ketika ini, timbul desas-desus mengenai dua nama Exco yang akan dilantik sebagai Menteri Besar menggantikan Mohamed Azmin antaranya ADUN Sungai Tua, Amirudin Shari; ADUN Seri Setia, Dr. Shaharuddin Badaruddin.

Bagi individu bukan Exco, nama ADUN Sungai Kandis, Shuhaimi Shafiei turut disebut-sebut untuk dilantik memegang jawatan tersebut. - UTUSAN ONLINE