Pengerusi Kelab Harmoni Selangor, Dr. V. Sunder berkata, kerajaan negeri dan kepemimpinan Mohamed Azmin dilihat tidak serius membantu rakyat memiliki rumah, khususnya mereka yang berpendapatan rendah apabila syarat permohonannya kerap bertukar tanpa sebab.

"Tidak malukah Azmin dilabelkan Menteri Besar terbaik sedangkan isu perumahan yang menjadi keperluan terpenting rakyat pun tidak mampu diselesaikannya? Bukan itu sahaja, syarat permohonan perumahan kos rendah di bawah program Selangorku juga berubah-ubah.

"Ini semua mengundang masalah kepada rakyat dan ramai yang dinafikan hak untuk memiliki rumah. Contohnya ada yang memohon dua tahun lepas dengan gaji yang ditetapkan tetapi apabila gajinya dinaikkan selepas dua tahun permohonannya ditolak pula," dakwanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi NGO 99 Kebajikan Insan Selangor (99 Kesan), Muhd. Ali Zakariah dan Setiausaha Gabungan NGO Selangor, Nazilah Idris.

Dalam pada itu, Nazilah berkata, Mohamed Azmin lebih layak dipanggil pemimpin yang hanya tahu membuat dasar tetapi tidak mahu mengambil tahu tentang impaknya walaupun sudah banyak aduan dibangkitkan oleh rakyat khususnya dalam aspek perumahan kos rendah.

"Saya tidak faham mengapa ada penganalisis politik melabelkan beliau sebagai Menteri Besar Selangor terbaik. Jika beliau yang terbaik mengapa masih ada rakyat yang merintih inginkan kediaman di negeri Selangor ini," soalnya.

Dalam pada itu, seorang pembeli rumah kos rendah dari Seksyen 15 di sini, Mohd. Haris Saliman, 32, berkata, sudah lebih empat tahun dia memohon rumah kos rendah tetapi sehingga kini permohonannya masih belum diketahui apa statusnya.

"Saya bekerja sebagai pengawal keselamatan, sudah berkeluarga dan mempunyai seorang anak tetapi usaha untuk memiliki rumah sendiri sampai sekarang tiada jawapan, sedangkan Saya terpaksa membayar sewa sehingga RM700 sebulan dan ini amat membebankan saya," katanya. - UTUSAN ONLINE