BUDIMAN MOHD. ZOHDI
BUDIMAN MOHD. ZOHDI

Dakwaan itu dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd. Zohdi yang mana beliau turut menyifatkan pemberian kontrak tersebut amat meragukan lebih-le­bih lagi NGO terbabit yang dikenali sebagai PESAKA itu dikatakan bukanlah benar-benar sebuah NGO kebudayaan.

Sebaliknya, PESA­KA itu dakwanya adalah sebuah syarikat yang berstatus sendirian berhad.

Malah, lebih menarik perhatian Budiman mendakwa nama pengarah dan pemegang saham syarikat yang mempunyai modal berbayar RM2 itu difahamkan adalah milik kurator utama festival berkenaan yang dikenali sebagai Eddin Khoo.

“Adakah ini suatu kebetulan atau sesuatu yang dirancang? Selanjutnya, adakah wang penganjuran fes­tival ini dibayar kepada PESAKA sebagai NGO atau syarikat sendirian berhad?

“Kemusykilan yang memeningkan inilah yang mesti diberi penjelasan oleh kerajaan ne­geri,” katanya dalam satu kenya­taan menerusi aplikasi WhatsApp di sini hari ini.

Tambah Budiman, beliau turut meragui sama ada pemberian kontrak secara terus kepada entiti itu benar-benar memenuhi kriteria atau amalan serta tatacara kewangan sebenar yang ditetapkan oleh kerajaan negeri.

Pada masa sama, Budiman menyifatkan penganjuran festival berkenaan turut gagal apabila difahamkan tidak mendapat sambutan daripada orang ramai meskipun sebanyak 30 program dikatakan telah diatur sepanjang tempoh penganjurannya.

“Hal ini telah melihatkan ba­gaimana penganjuran festival ini dibuat secara sambil lewa dan tidak bersungguh-sungguh,” ujarnya.