Cabaran yang bersifat kata dua itu ditegaskan Pesuruhjaya Pas Negeri, Sallehen Mukhyi ekoran sikap Mohamed Azmin yang sehingga kini masih berdolak-dalik memberikan sebarang kata putus mengenai penyaluran peruntukan tersebut yang belum diperoleh oleh wakil-wakil rakyat Pas sejak hampir dua bulan lalu.

Malah, pihaknya beberapa kali sebelum ini pernah berusaha untuk mendapatkan penjelasan daripada Mohamed Azmin mengenai isu peruntukan tersebut termasuklah mahu mengadakan pertemuan bagi membincangkan perkara itu.

Malangnya, Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR itu menurut Sallehen sehingga kini, masih enggan mengadakan pertemuan dengan pihaknya melainkan hanya memberikan jawapan kononnya kelewatan penyaluran peruntukan kepada wakil-wakil rakyat Pas itu berpunca daripada masalah teknikal.

"Kita (Pas Selangor) tegaskan bahawa dalam isu kelewatan penyaluruan peruntukan tahunan kepada 13 wakil rakyat Pas ini, kita tidak akan merayu kepada kerajaan negeri termasuklah kepada Menteri Besar (Mohamed Azmin). Peruntukan itu adalah kewajipan yang perlu dilunaskan kerajaan negeri kerana ia telah diperuntukkan dalam Belanjawan Selangor yang diluluskan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Justeru, Menteri Besar kena bagi jawapan sama ada nak beri atau tak nak beri. Beliau tidak perlu memberikan alasan kononnya masalah teknikal sedangkan saya difahamkan wakil-wakil rakyat daripada parti lain menerima peruntukan tahunan seperti biasa, tetapi tidak pula bagi wakil-wakil rakyat Pas," katanya kepada pemberita di Pejabat Badan Perhubngan Pas Selangor di Seksyen 13, di sini hari ini.

Pada masa sama, Sallehen yang juga ADUN Sabak turut menegaskan, beliau serta ADUN-ADUN Pas ketika ini terpaksa menggunakan kewangan sendiri untuk membiayai program rakyat di peringkat kawasan masing-masing.

Malah, selain peruntukan tahunan, wakil-wakil rakyat Pas juga dakwanya turut dinafikan hak mendapatkan kad di bawah Program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) untuk diagihkan kepada rakyat di kawasan masing-masing.

Sebaliknya, agihan kad KISS itu dakwa beliau dilakukan oleh Ketua Cabang PKR setiap kawasan DUN yang diwakili oleh Pas.

"Saya tidak mahu membut tuduhan, tetapi saya dimaklumkan adanya arahan tertentu supaya kad KISS itu tidak diberikan kepada ADUN-ADUN Pas.

"Begitu juga dengan isu sekatan peruntukan tahunan kepada wakil-wakil rakyat Pas, saya percaya ada unsur-unsur campurtangan di peringkat kepimpinan tertinggi Pakatan Harapan," dakwanya.

/habis