BUDIMAN
BUDIMAN

Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd. Zohdi berkata, kerajaan negeri sehingga kini gagal menangani masalah bekalan air terawat meskipun Kerajaan Persekutuan difahamkan telah menyediakan peruntukan kira-kira RM22.3 bilion dalam tempoh 10 tahun sejak 2010 untuk tujuan berkenaan.

Jelas Budiman, selain sasaran pengurangan kadar air tidak terhasil (NRW) pada kadar 28 peratus belum dicapai, masalah bekalan air terawat dilihat semakin parah sehinggakan penduduk di kawasan Cheras semalam dilaporkan terpaksa bangkit menuntut penyelesaian segera diambil pentadbiran Mohamed Azmin.

MOHAMED AZMIN ALI
MOHAMED AZMIN ALI

“Apabila membicarakan isu perkhidmatan bekalan air di Selangor serta kawasan di Lembah Klang ini, saya merasakan ia satu isu yang berulang-ulang setiap tahun, seolah-olah tiada jalan penyelesaian diambil secara serius oleh kerajaan negeri.

“Daripada isu penstrukturan semula industri perkhidmatan air Selangor yang belum dijayakan sepenuhnya, masalah NRW, sehinggalah kepada persoalan kualiti serta agihan bekalan air.

“Namun kerajaan ne­geri seakan-akan tidak mengambil berat akan perkara itu meskipun ia telah banyak menjejaskan kehidupan seharian rak­yat," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Budiman turut mengingatkan kerajaan negeri supaya tidak menganggap pemberian bekalan air percuma sebanyak 20 meter padu sebagai 'umpan' bagi menutup kelemahan kerajaan negeri dalam menguruskan bekalan air terawat kepada para pengguna.

Ini kerana menurutnya, usaha memastikan sistem agihan dan kualiti bekalan air terawat tetap merupakan tanggungjawab kerajaan negeri.