MOHAMED AZMIN ALI

Beliau berkata, PKR secara rasmi ti­dak akan mengadakan kerjasama dengan Pas sebaliknya memberi fokus untuk menyusun strategi bagi menghadapi pertandingan tiga penjuru.

Katanya, pendirian terbaharu PKR itu selaras dengan keputusan mesyuarat majlis presiden pakatan yang dianggotai parti itu bersama DAP, PAN dan PPBM, Isnin lalu.

“Keputusan tidak ada kerjasama de­ngan Pas kita terima dan akan laksanakan. Fokus kita sekarang ialah untuk membina jentera bagi PRU-14,” katanya selepas meng­­hadiri Sambutan Hari Kebangsaan 2017 Peringkat Negeri Selangor di Dataran Kemerdekaan, Seksyen 14, di sini hari ini.

Ditanya keputusan tidak me­nga­dakan kerjasama de­ngan Pas itu bercanggah dengan kenyataannya pada 26 Ogos lalu yang menegaskan usaha tersebut adalah inisiatif PKR dan bukan pakatan pembangkang, Mohamed Azmin membayangkan, kenyataannya mengenai perkara itu sudah tidak relevan ketika ini.

“Itu pendirian PKR mengadakan rundingan dengan Pas sebelum ini, bukan saya yang batalkan. Majlis presiden pakatan merasakan tempoh PRU-14 makin dekat, maka kita kena siapkan jentera di peringkat bawah,” katanya.

Isu rundingan pembahagian kerusi di antara PKR dan Pas te­lah mencetuskan pertelingkahan dalaman parti itu apabila Naib Presi­dennya, Rafizi Ramli bersama beberapa pemimpin PKR lain sebelum ini dilaporkan membantah tindakan kepemimpinan tertinggi partinya melaksanakan rundingan berkenaan.