Ketua Pemuda UMNO Bahagian Jasin yang juga anak bongsu tokoh itu, Imanuddin memberitahu, Allahyarham sering mengi­ngatkan keluarganya supaya tidak mengabaikan parti walau dalam apa jua keadaan.

“Kami sekeluarga masih memegang amanat arwah supaya menjaga UMNO kerana itulah satu-satunya parti yang menjaga orang Melayu.

“Keluarga juga berasa bangga dengan pemilihan arwah sebagai Tokoh Melayu Terbilang UMNO 2016 dalam majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-70 UMNO tahun lalu dan menganggapnya sebagai satu keputusan tepat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, abangnya yang juga Pengarah Pusat Perkhidmatan Barisan Nasional (Pem­bela BN) Melaka, Amir Hamzah berkata, Allahyarham pernah me­nyampaikan nasihat supaya UMNO terus diperkasakan.

“Katanya, jagalah anak cucu supaya mereka tidak bersepah ke tempat lain kerana hari ini, kira-kira 45 peratus sudah lari ke pihak pembangkang dan sesuatu perlu dilakukan.

“Parti ini bukan untuk seorang individu sahaja, malah untuk semua orang. Parti perlu kekal relevan dan membantu mereka yang memerlukan tanpa sempadan serta bantuan diberi tidak bersifat kepartian,” katanya.

Semalam, Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh mengumumkan tiga ahli UMNO yang banyak menyumbang kepada parti dan negara akan menerima anugerah Tokoh Melayu Terbilang pada sambutan Ulang Tahun UMNO Ke-71 yang bakal berlangsung 11 Mei ini.

Selain Abdul Aziz, tokoh yang pernah menerima anugerah berke­naan ialah Pro Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Tan Sri Arshad Ayub dan penulis, Khalidah Adibah Amin.