Empat lagi wakil rakyat DAP yang dilantik exco ialah ADUN Pasir Pinji, Howard Lee Chuan How; ADUN Pantai Remis, Wong May Ing; ADUN Tronoh, Paul Yong Choo Kiong dan ADUN Sungkai, A Sivanesan.

Wakil rakyat DAP menguasai separuh daripada 10 exco kerajaan negeri yang dilantik setelah parti itu menang kesemua 18 kerusi DUN yang ditandinginya dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Majlis angkat sumpah sebagai exco berlangsung di hadapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Iskandariah Bukit Chandan di sini hari ini.

Turut berangkat Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim,

Berangkat sama Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Almarhum Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.

Turut hadir bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.

Sementara itu, Parti Amanah yang menang enam kerusi DUN dalam PRU-14 mendapat kuota tiga exco iaitu ADUN Sungai Rapat, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin; ADUN Manjoi, Asmuni Awi dan ADUN Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abd. Munaim.

PKR yang menang empat kerusi DUN mempunyai dua wakil rakyatnya yang dilantik sebagai exco iaitu ADUN Simpang Pulai, Tan Kar Hing dan ADUN Kuala Kurau, Abdul Yunus Jamhari.

PPBM hanya menang satu kerusi DUN Chendering menerusi Pengerusi PPBM Perak, Ahmad Faizal Azumu yang telah mengangkat sumpah Menteri Besar Perak ke-12.

Sementara itu, ADUN Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin yang menyokong Pakatan Harapan tiada dalam senarai exco walaupun Ahmad Faizal sebelum ini membayangkan wakil rakyat itu mungkin dilantik exco.

- UTUSAN ONLINE