PFP menamakan Naib Presidennya J. Edward, 61 untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tengah manakala anaknya Daphne, 38, akan bertanding di DUN Jawi.

Terdahulu, Presiden parti Datuk Patrick Ooi Khar Giap berkata PFP akan bertanding di satu kerusi Parlimen dan 13 kerusi DUN.

Mengulas pemilihannya, Edward yang merupakan calon tertua bertanding untuk PFP, berharap pengundi di Pulau Pinang akan memberi beliau dan anak sulung perempuannya itu peluang berkhidmat kepada masyarakat.

"Saya ada pelan untuk menyelesaikan isu banjir dan kesesakan yang dihadapi oleh penduduk di kawasan yang akan saya tandingi," katanya kepada Bernama, di sini.


Sementara itu, Daphne yang merupakan perunding perniagaan berkata beliau menyertai parti tersebut dua tahun lepas setelah bertahun-tahun mengikut ayahnya menjalankan tanggungjawab membantu masyarakat.

"Ayah tidak meminta saya menyertainya dalam politik, saya sendiri yang mahu berbuat demikian bagi membantu orang ramai dengan kepakaran yang saya miliki," katanya.

Dua beranak itu masing-masing dijangka berdepan persaingan lima penjuru dengan Edward diramal bertemu calon PAS, Parti Rakyat Malaysia (PRM), BN dan PKR sementara Daphne pula dijangka menghadapi DAP, Parti Rakyat Malaysia Bersatu (MUP), PRM dan BN. - BERNAMA