Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, tindakan tegas perlu diambil terhadap mereka yang dikenal pasti cuba mensabotaj parti.

Katanya, peringatan keras juga perlu diberikan kepada pihak yang cuba mengkhianati perjuangan parti agar mereka segera melupakan niat dan tujuan tersebut.

“Sabotaj ini banyak bentuk, tak keluar mengundi, mengundi pembangkang dan berkempen menentang calon sendiri. Orang seperti ini perlu diingatkan, tak usahlah buat kerja yang tak elok, tak ada apa-apa faedah. Merugikan kerana kalau parti kalah, dia turut kalah.

“Jangan ingat bila parti kalah, dia untung. Parti menang dia menang, parti kalah dia kalah," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas merasmikan Langkap Open Day (Dry Run) di Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan di sini, hari ini.

Tajuddin yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak berkata, kesedaran segera perlu diberikan kepada golongan tersebut kerana tindakan berkenaan hanya sekadar mengikut nafsu dan perasaan.

“Saya kali ini akan bertindak pantas. Kalau kita kesan ada (sabotaj) dalam masa proses kempen sampai hari mengundi, kita akan ambil tindakan. Biar dia duduk di luar jadi pembangkang daripada menjadi musuh dalam selimut," tegasnya.

“Saya minta Lembaga Disiplin dan Pengurusan UMNO memantau kemungkinan berlakunya sabotaj ini dengan mengambil tindakan berani dan tegas terhadap mereka yang terlibat,” katanya.

Sementara itu, mengenai cadangan pembangkang yang mahu kehadiran pemantau antarabangsa bebas semasa PRU-14, beliau berkata, cadangan berkenaan langsung tidak boleh diterima.

Katanya, cadangan itu disifatkan sebagai `reka cipta' pembangkang untuk mewujudkan persepsi seolah-olah kerajaan hari ini akan menjalankan satu proses pilihan raya yang tidak adil.

“Pembangkang dia tahu bahawa kita buat proses pilihan raya dengan adil, cuma dia nak buat isu untuk mewujudkan persepsi atau anggapan seolah-olah kerajaan ini akan melakukan satu proses pilihan raya yang tidak adil," katanya.