MOHAMAD HASAN

Hakikatnya, negeri ini sentiasa sukar untuk ditawan dan ini terbukti dalam dua pilihan raya umum (PRU) lalu. Pada PRU-12, BN hanya berjaya membentuk kerajaan dengan majoriti mudah iaitu memperoleh 21 daripada 36 kerusi DUN berbanding 15 dimenangi pembangkang. Pada PRU-13 pula, BN mengekalkan kemena­ngan dengan 22 kerusi berban­ding 14 milik pembangkang.

Akhirnya, pada PRU-14 semalam, BN terpaksa akur melepaskan negeri ini buat pertama kali kepada Pakatan Harapan selepas hanya mendapat 16 kerusi berbanding 20 kerusi memihak pakatan itu. Tumbangnya BN di negeri ini walaupun mengejutkan banyak pihak bukanlah sesuatu yang di luar jangkauan parti lawan.

Kekalahan dikenal pasti berpunca daripada penolakan kuat pengundi kawasan bandar dan pinggir bandar kepada parti itu selepas tsunami politik pada 2008. Hampir semua kawasan sedemikian dengan jumlah pe­ngundi kaum Cina yang besar memberi undi kepada pakatan itu antaranya di DUN Lobak, Nilai, Temiang, Seremban Jaya, Rahang, Bukit Kepayang, Chuah, Sri Tanjung, Lukut dan Bahau.

Bezanya kali ini, penolakan turut melibatkan pengundi di kawasan bandar majoriti Melayu yang membawa gelombang besar kekalahan di DUN Sikamat, Ampangan, Paroi, Labu, Pilah dan Klawang. Strategi meletakkan penceramah popular, Syamsul Debat juga gagal memikat pe­ngundi di Sikamat.

Penubuhan kerajaan negeri oleh Pakatan Harapan nanti sudah pasti menyaksikan pengaruh besar DAP yang merupakan parti paling dominan dalam pakatan berkenaan. Ini kerana DAP menang kesemua 11 kerusi DUN yang ditandingi, manakala PKR memperoleh lima dan PAN empat. Satu lagi parti iaitu PPBM gagal memenangi sebarang kerusi.

PRU-14 juga boleh dianggap sebagai gelanggang terakhir buat dua orang lama BN iaitu bekas Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Seri Hasan Malek dan bekas Ahli Parlimen Tampin, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor. Kekalahan Hasan yang tiga penggal mewakili Kuala Pilah dan Shaziman wakil rakyat empat penggal di Tampin adalah kejutan besar di negeri ini dalam PRU-14.

Selain Kuala Pilah dan Tam­pin, Pakatan Harapan turut me­ngekalkan tiga lagi kerusi Parlimen iaitu Port Dickson, Rasah dan Seremban manakala BN menang di Rembau, Jelebu dan Jempol.

Bagaimanapun, di Jelebu, tindakan veteran UMNO, Tan Sri Rais Yatim menyokong Pakatan Harapan sedikit sebanyak membantu parti berkenaan mengekalkan kerusi DUN Chennah dan merampas satu lagi kerusi iaitu Klawang daripada BN.

Setiap kali bercakap tentang politik Negeri Sembilan, sudah tentu isu ketokohan Moha­mad atau ‘Tok Mat’ tidak dapat dielak untuk diperkatakan. Sejak bergelar Menteri Besar pada 2004, BN negeri ini banyak bergantung kepada imej, sifat mesra, stail pengurusan serta kepe­mimpinannya sebagai salah satu aset penting memikat rakyat.

Malangnya, dalam PRU-14, pe­ngundi di negeri ini dipengaruhi dengan pelbagai isu negara berbanding isu tempatan seperti 1MDB, cukai barang dan perkhid­matan (GST) dan harga minyak yang berada di luar kawalan beliau.