Antara sasaran utama parti yang telah berusia 50 tahun itu adalah untuk kembali ke Dewan Rakyat selepas gagal memenangi sebarang kerusi Parlimen dalam PRU Ke-14 dan merampas semula pentadbiran kerajaan Pulau Pinang daripada Pakatan Harapan (PH) yang diketuai DAP di negeri itu.

Bagi mendapatkan kupasan lanjut mengenai keyakinan Gerakan untuk membuat kemunculan semula dalam PRU akan datang wartawan Mingguan Malaysia, SHARAIMEI SHAIK AHMEDULLAH bersama jurugambar, AMIN FARIJ HASSAN dan juruvideo, MOHD. KAMARUL HASIFI menemu bual Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau untuk berkongsi hala tuju parti itu di ibu pejabat parti berkenaan di Menara PGRM, baru-baru ini.
 

MINGGUAN: Selepas keluar daripada BN bagaimana kedudukan politik Gerakan sekarang?

DOMINIC: Pada Jun tahun lepas Gerakan telah keluar daripada BN, sebagai parti politik bebas kita memang mengalu-alukan semua polisi yang baik untuk rakyat sama ada daripada kerajaan atau pun pembangkang, Jika ada polisi yang tidak baik kita akan kritik dengan memberikan jalan penyelesaian sekali kerana kita mahu menonjolkan Gerakan sebagai parti profesional dan tahu menyelesaikan masalah rakyat dan negara.

Hubungan Gerakan dengan parti komponen BN lain, adakah masih baik?

DOMINIC: Kita hanya keluar parti bukan bermusuhan, dengan PH kita kawan dengan BN pun kita kawan kerana Gerakan mahu menjadi parti politik alternatif baharu untuk rakyat.

Untuk menghadapi PRU Ke-15, adakah Gerakan mahu bersama blok pembangkang atau kekal bebas?

DOMINIC: Paling penting bagi Gerakan adalah menang dalam PRU Ke-15 dan kembali ke Parlimen oleh itu, untuk masa ini kita perlu menguatkan struktur parti terlebih dahulu. Jika hendak bekerja dengan parti politik lain, masih belum tiba masanya lagi kerana suasana politik berubah setiap hari.

Mengenai kemenangan BN dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highland baru-baru ini, bagaimana Gerakan melihat perkembangan itu?

DOMINIC: Kita sudah jangkakan BN menang berdasarkan analisis dilakukan. Apabila Pas menyokong UMNO ia menaikkan peratus sokongan kepada BN tambahan pula mereka meletakkan calon Orang Asli yang juga bekas polis. Namun, ada juga pihak yang berkata BN menang kerana PH tidak menunaikan janji, ini juga satu mesej jelas bahawa janji yang tidak ditunaikan bakal menyebabkan PH menghadapi kekalahan dalam pilihan raya.

Difahamkan Gerakan berminat bertanding dalam PRK Semenyih yang akan datang, benarkah?

DOMINIC: Sebagai sebuah parti politik, dalam mana-mana pilihan raya sama ada PRK atau PRU kita mesti pertimbangkan dengan berhati-hati untuk menyertainya. Di Semenyih, memang ada ahli akar umbi yang berminat hendak bertanding namun, saya tekankan jika hendak bertanding banyak faktor yang perlu diambil kira pertama calon, kedua jentera dan ketiga, ini merupakan kali pertama bertanding atas lambang Gerakan jadi adakah pengundi boleh menerima Gerakan selepas sebelum ini bertanding di bawah logo BN? Faktor ini akan dipertimbangkan sebelum membuat keputusan.

Adakah tiga faktor tersebut hala tuju baharu Gerakan?

DOMINIC: Paling penting hala tuju kita adalah kembali ke Parlimen oleh itu fokus kita adalah menang dalam PRU Ke-15. Kita hendak memperkuatkan organisasi, jentera dan bersiap sedia dalam pilihan raya akan datang.

Untuk PRU Ke-15 terdapat ura-ura Gerakan mahu merampas semula Pulau Pinang, kenapa negeri tersebut dan bukan kawasan lain?

DOMINIC: Fokus Gerakan di Pulau Pinang kerana kita kalah teruk pada 2008 sehingga hilang kerajaan negeri kepada DAP. Bagi Gerakan di mana kita jatuh di situ kita bangun semula.

Selain itu, pengundi di sana juga telah mengenali logo Gerakan kerana pada 1969 kita menang melalui logo ini di bawah Tun Dr. Lim Chong Eu dan negeri itu lebih mudah kita bangun semula berbanding di negeri lain.

Malah, banyak lagi orang veteran di sana yang masih ingat jasa Chong Eu seperti pembinaan Komtar, Jambatan Pulau Pinang, pembangunan kawasan industri di Bayan Lepas dan lain-lain.

Bagaimana pula dengan pengundi muda, adakah mereka akan menyokong Gerakan?

DOMINIC: Kita akui banyak pengundi muda di Pulau Pinang dan Malaysia tidak kenal Gerakan tetapi paling penting kita boleh memberikan harapan kepada pengundi di Pulau Pinang bahawa kita mempunyai kredibiliti untuk menguruskan negara.

Bagaimana pula kerusi tradisi Gerakan seperti Simpang Renggam dan Teluk Intan, adakah kerusi ini akan ditandingi?

DOMINIC: Sebanyak 60 peratus pengundi di Simpang Rempang ialah Melayu dan kita mendapat sokongan UMNO tetapi selepas kita keluar BN, Simpang Renggam bukan kerusi yang akan dipertimbangkan dalam PRU Ke-15. Kita akan teruskan meneliti dan keputusan belum dibuat lagi untuk bertanding di kerusi mana.

Bagaimanapun, arahan sudah diberikan kepada pengerusi di semua negeri dalam tempoh suku pertama tahun ini untuk mengenal pasti kawasan dan calon yang akan mewakili Gerakan dalam PRU Ke-15. Oleh itu, jentera parti akan bergerak bermula sekarang, kita tidak mahu sehingga Parlimen dibubarkan Gerakan belum bersedia.

Sejak dalam BN lagi banyak pihak tidak dapat melihat perbezaan antara Gerakan dan MCA, jadi bagaimana Gerakan mahu melarikan diri daripada dibayangi oleh MCA selain DAP?

DOMINIC: Anggapan umum rakyat, Gerakan adalah parti kaum Cina seperti MCA tetapi berdasarkan pemerhatian, MCA hanya untuk Cina tetapi kita untuk semua kaum dan anak Malaysia. Banyak juga pihak beranggapan Gerakan sama seperti DAP kerana kaum Cina ialah majoriti disebabkan itu kita perlu menerangkan bahawa ideologi Gerakan, MCA dan DAP adalah berbeza.

Biarpun Gerakan adalah parti pelbagai kaum, lebih banyak kaum lain memilih DAP, kenapa Gerakan tidak menjadi pilihan utama?

DOMINIC: Banyak orang suka DAP sebab ketika itu mereka merupakan pembangkang, mereka boleh suarakan sebarang isu sehingga menarik sokongan banyak pihak tetapi sejak menjadi kerajaan DAP sudah dianggap parti duduk diam-diam yang sudah tidak mempunyai suara dan janji-janji mereka tidak ditunaikan.

Bagaimana Datuk melihat prestasi DAP di Pulau Pinang sejak mentadbir pada 2008?

DOMINIC: Banyak rakyat di Pulau Pinang sudah menerima DAP sebagai kerajaan tetapi sebagai pembangkang kita mahu mengingatkan DAP supaya menjadi lebih baik daripada Gerakan ketika menjadi kerajaan negeri. Sehingga kini masih banyak isu belum disesaikan contohnya banyak pokok ditebang, banjir dan tanah runtuh.

Isu tanah runtuh dan banjir bukan masalah baharu, hampir setiap tahun berlaku tetapi sokongan pengundi masih kuat terhadap DAP, adakah ini bermaksud rakyat Pulau Pinang tidak kisah?

DOMINIC: Bukan tidak kisah tetapi sebab utama ketika itu Pulau Pinang di bawah DAP manakala Kerajaan Persekutuan di bawah BN jadi rakyat Pulau Pinang tidak boleh membezakan kesalahan atau kelemahan siapa. Kali ini dua-duanya sudah mereka ambil jadi mereka perlu tunaikan janji, dulu mereka pandai kalau tak boleh buat mereka salahkan Kerajaan Persekutuan.

Bagaimana pula Gerakan melihat masalah ekonomi yang sedang berlaku di bawah kerajaan PH sekarang?

DOMINIC: Sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab sebarang janji perlu ditunaikan, kita pun tidak setuju apa yang Perdana Menteri sebut semua janji tersebut hanya sebagai guideline (garis panduan) tetapi bagi Gerakan kita beranggapan janji-janji tersebut perlu ditunaikan dan selepas lapan bulan PH menjadi kerajaan ekonomi negara semakin merosot disebabkan mereka sentiasa memfokuskan isu politik tanpa menghiraukan masalah ekonomi negara seperti kejatuhan harga minyak kelapa sawit. Sehingga kini tiada tindakan oleh PH untuk menaikkan harga minyak kelapa sawit.

Bagaimana pula Datuk melihat lantikan politik oleh kerajaan PH terutamanya DAP ketika melantik bekas Ketua DAP Bahagian Teluk Intan, Hew Kuan Yau sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Majlis Perniagaan China-Malaysia (MCBC)?

DOMINIC: Lantikan itu memang tidak sesuai kerana ada banyak isu dibangkitkan oleh Kuan Yau terutamanya dia menyokong kumpulan ekstremis di Hong Kong, jadi bagaimana pula perasaan kerajaan China.

Selain itu, walaupun dia pemegang ijazah doktor falsafah (PhD) bahasa yang digunakannya sangat kasar, dengan mewakili Malaysia sudah pasti akan menjejaskan hubungan kedua-dua negara. Jadi kita minta pelantikan itu dikaji semula.

Mengimbas kembali PRU Ke-14, Datuk ditewaskan oleh seorang calon bebas yang muda dan baru pertama kali terlibat dalam politik, apa perasaan Datuk?

DOMINIC: Selepas Tian Chua tidak layak bertanding dalam Parlimen Batu saya pun tidak jangka calon Bebas boleh menang dalam PRU Ke-14 terutamanya di kawasan Batu kerana banyak kerja telah saya jalankan dan beri tumpuan tetapi kalah juga malahan kalah kepada calon berusia 23 tahun.

Situasi ketika itu mereka memang hendak tukar kerajaan asalkan bukan BN mereka akan sokong. Walaupun sakit hati, kita terima kekalahan dan hormati keputusan tersebut.