Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mahu UMNO kembali kepada Islam, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berhujah ia mustahil kerana UMNO telah menindas pemimpin dan ahli Pas dalam banyak isu contohnya isu royalti minyak Kelantan dan Naib Presiden Pas, Datuk Iskandar Samad mendakwa, UMNO mempunyai banyak dosa yang tidak boleh diterima oleh ahli Pas akar umbi.

Begitulah reaksi pemimpin-pemimpin yang jelas membuktikan, apapun keikhlasan UMNO ia tetap akan dipandang serong oleh Pas. Semasa mereka berkawan dengan PKR dan berpeluk dengan DAP tidak pula semua persoalan itu ditimbulkan .

Dalam UMNO tidak ada yang memperjuangkan fahaman liberal, dalam UMNO tidak ada yang menentang hukum hudud dan di dalam UMNO tidak ada mana-mana pemimpin yang menghina Abdul Hadi. Tetapi semua itu pernah dilakukan oleh pemimpin-pemimpin PKR dan DAP. Justeru tak kanlah UMNO lebih teruk berbanding PKR dan DAP?

Oleh itu adalah amat malang apabila Pas terus menganggap mereka lebih Islam daripada UMNO menolak huluran ikhlas daripada UMNO. Ternyata surah Ali Imran ayat 103 yang mengingatkan umat Islam supaya berpegang teguh kepada Allah dan jangan bercerai berai hanya sekadar menjadi bacaan sahaja kepada pemimpin Pas dan bukannya diamalkan.

Mungkin Pas berbuat demikian demi menjaga hati PKR memandangkan, Pas takut akan ‘ditendang keluar’ daripada pentadbiran kerajaan negeri Selangor. Kalau itu berlaku, Parti Amanah Negara (Amanah) akan untung.

Ternyata sekali biarpun dihina oleh DAP dan dikhianati oleh pemimpin-pemimpin sendiri, Pas masih tetap melihat UMNO bagaikan `musuh kamu yang paling nyata’. Sikap Pas itu memungkinkan ramai pihak yang tidak mahu melihat orang Melayu bersatu bersorak girang.

Sepatutnya sebagai sebuah parti yang disertai oleh alim ulama dan mempunyai Dewan Ulama serta begitu mahu memperjuangkan Islam sudah pasti Pas tidak akan bersikap keras apatah lagi sesama Islam. Ingatlah firman Allah dalam surah ali-Imran ayat 159 bermaksud:

“Maka disebabkan rahmat daripada Allah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kami bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri daripadamu, kerana itu maafkanlah mereka, mohon ampun bagi mereka dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan ini. kemudia apabila kamu telah membuatkan tekad maka bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakal kepada-Nya.

Berdasarkan firman Allah itu, pemimpin-pemimpin Pas sepatutnya memahami apa yang mereka lakukan dengan menolak pelawaan UMNO bertentangan dengan ajaran Islam sebenar. UMNO bukannya mahu melutut apatah lagi menyembah Pas demi mencari kuasa politik. UMNO tidak perlu semua itu. UMNO lebih kuat daripada Pas. UMNO perintah sembilan negeri, Pas pula hanya satu iaitu di Kelantan.

Apa yang UMNO mahukan ialah memaut Pas untuk bersama-sama mengembangkan syiar Islam di negara ini. Melalui titik pertemuan itu ia akan mampu memperkukuhkan kedudukan orang Melayu dan umat Islam. Tetapi sayang, Pas tidak pernah berubah dan tidak mungkin berubah selagi mereka meletakkan kepentingan politik mengatasi segala-galanya.