Meneliti satu demi satu ayat dalam teks ucapan Pengerusi dan Presiden PPBM tersebut jelas sekali apa yang tersemat dan kesumat di dalam hati mereka ialah kebencian terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan segala-galanya hanya keburukan apabila memperkatakan mengenai Barisan Nasional (BN) dan UMNO.

Pada pandangan politik kebencian mereka, tidak ada sekelumit pun kebaikan yang dilakukan oleh kerajaan BN kepada negara dan rakyat, semuanya buruk belaka. Nafsu yang berkobar-kobar akibat diselubungi perasaan benci mendalam terhadap Perdana Menteri telah memungkinkan Dr. Mahathir dan Muhyiddin (2M) menghamburkan pelbagai tuduhan dan tohmahan kepada kerajaan.

UMNO yang pernah meletakkan mereka menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun dan Timbalan Perdana Menteri hampir enam tahun kini menjadi sebuah parti yang dibenci dan penuh dengan keburukan.

Pada masa sama, pujian dihamburkan kepada parti-parti Pakatan Harapan termasuklah DAP yang sudah tentulah bakal menjadi ‘penyambung nyawa’ kepada perjuangan politik PPBM. DAP yang suatu ketika dahulu dianggap parti cauvinis dilihat parti penting untuk kononnya mewujudkan Malaysia yang lebih baik.

Berdasarkan ucapan kedua-dua pemimpin yang dianggap hebat itu, jelas sekali mereka menggunakan atau mengkitar semula segala tuduhan yang pernah dilemparkan oleh parti-parti pembangkang ketika Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri dan semasa Muhyiddin menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Mereka cuba menggambarkan kepada rakyat bahawa kerajaan sedia ada seburuk-buruknya kerajaan yang pernah wujud di negara ini sedangkan semua orang tahu bagaimana keadaan negara ketika Dr. Mahathir memerintah.

Tidakkah ketika itu pemerintah beliau dituduh penuh rasuah? Tidakkah ketika itu kepemimpinan beliau dianggap zalim khususnya dalam isu penahanan tanpa bicara melalui Akta Keselamatan Negeri (ISA), Tidakkah ketika itu media-media dianggap tidak bebas sehingga ada media yang digantung permit? Tidakkah sehingga kini Dr.Mahathir belum menjawab bagaimana anak-anaknya boleh menjadi kaya-raya sehingga ada yang bertaraf bilionair? Di mana prinsip politik mereka apabila memuji parti-parti pembangkang yang ada pemimpinnya satu ketika dahulu dianggap tidak layak menjadi Perdana Menteri?

Ternyata sekali pemimpin ‘2M’, sudah tidak mampu lagi berfikiran secara rasional atau matang dalam politik. Dan paling penting terbuktilah perjuangan mereka dalam PPBM bukanlah demi rakyat dan negara tetapi sekadar melampiaskan dendam kesumat ke atas Najib. Ucapan mereka sudah membuktikannya!