Pembangkang mensensasikan pembukaan kilang tersebut pada 2011 dengan mengaitkannya dengan kesan kebocoran radiasi yang berlaku di Fukushima, Jepun akibat kejadian gempa bumi dan tsunami sehingga terdapat rakyat terutama yang tinggal di Kuantan berasa terancam.

Penduduk tempatan menjadi keliru dengan isu Lynas menerusi fakta yang tidak tepat meskipun semua langkah perlu terhadap pembinaannya sudah diambil dan mematuhi aspek keselamatan yang ditetapkan kerajaan.

Kerajaan beberapa kali menjelaskan pembinaannya adalah selamat daripada ancaman radiasi tinggi, namun ia belum cukup bagi pembangkang yang mahu menonjolkan diri sebagai hero dalam isu berkenaan. Apatah lagi apabila ia dilihat sebagai ‘masa yang tepat’ untuk berbuat demikian memandangkan ketika itu dalam mood pilihan raya umum.

Namun, kokokan pembangkang tanpa mengira siang atau malam itu tiba-tiba menjadi senyap sepi sejurus selepas PRU-13. Kalau adapun, sekadar di ‘hujung telinga’. Mengapakah jadi begitu, ke mana hilangnya ‘perjuangan’ mereka dalam isu ini? Rasanya tidak sukar untuk mencari jawapannya dan kita serahkan kepada rakyat untuk menilainya sendiri.

Kita kembali kepada fasa selepas PRU-13. Realitinya, ruang masa lebih lima tahun sejak kilang Lynas beroperasi membolehkan 

penilaian dibuat berhubung tahap keselamatannya yang dipersoalkan, walaupun sudah berbuih mulut ditegaskan bahawa kewujudannya bebas daripada ancaman radiasi.

Fakta saintifik menunjukkan projek tersebut tidak membawa kemudaratan kepada masyarakat setempat.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed selepas mengadakan lawatan kerja ke Kuantan lebih setahun lalu menegaskan bahawa operasi projek Lynas adalah selamat dan tidak meningkatkan bacaan radiasi atau membawa implikasi negatif.

“Hasil pemantauan yang dijalankan 24 jam sehari menunjukkan operasi adalah selamat dan tiada peningkatan bacaan radiasi dalam lingkungan satu hingga ke 20 kilometer dari kilang Lynas.

“Projek Lynas juga tidak memberi implikasi negatif kepada penduduk sekitar atau alam sekitar. Jika benar dakwaan berlaku radiasi, sudah tentu kawasan perindustrian Gebeng tidak akan berkembang atau menjadi pilihan syarikat multinasional,” 

katanya.

Terdahulu, Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) dilapor mengesahkan projek Lynas adalah selamat dan tidak memberi kesan pencemaran kepada alam sekitar. Operasi kilang itu mengikut garis panduan peraturan dan tahap keselamatan pembangunan teknologi nuklear.

IAEA yang mempunyai keahlian di seluruh dunia termasuk Agensi Nuklear Malaysia mendapati, projek memproses nadir bumi tersebut bebas daripada masalah radiasi sisa bahan radioaktif yang mengancam penduduk.

Kenyataan IAEA itu membuktikan pengiktirafan di peringkat antarabangsa tentang tahap keselamatan pembangunan teknologi nuklear di negara ini termasuk projek Lynas. Apabila ia keluar dari mulut pakar, seharusnya sudah tidak perlu dipertikaikan lagi.

Bagi Ketua UMNO Bahagian Kuantan, Datuk Seri Wan Adnan Wan Mamat, pembangkang mengambil kesempatan dengan menyebarkan pelbagai tohmahan tidak berasas berhubung isu kilang Lynas untuk menghasut dan mahu memancing undi rakyat.

“Kemenangan pembangkang pada penggal terdahulu disebabkan pengundi termakan dengan hasutan pembangkang yang memainkan isu Lynas. Sudah terbukti cakap-cakap bahawa orang akan kena kanser, harga hartanah jatuh dan lain-lain tidak tepat. 

“Sebaliknya, kewujudan kilang Lynas memberi peluang pekerjaan kepada penduduk dan membawa jumlah pelaburan yang besar. Saya harap pengundi dapat membuka mata dan sedar agar tidak termakan dengan hasutan pembangkang,” katanya.

Isu Lynas seharusnya sudah mampu membuka mata rakyat negara ini supaya tidak mudah terpengaruh dengan hasutan pihak yang mempunyai kepentingan agenda politik.

Nilailah berita yang disebarkan itu sama ada dibuat berdasarkan fakta yang sahih khususnya menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bagi mengelak daripada terperangkap dengan agenda menjatuhkan kerajaan.

Jangan sampai dengar guruh berdentum di langit, air di tempayan dicurahkan. - UTUSAN ONLINE