SHAMSUL ANUAR NASARAH
SHAMSUL ANUAR NASARAH 

Ia dilontarkan oleh Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah yang melahirkan rasa kesal dengan kelewatan pihak berkuasa bertindak menangani tragedi pencemaran toksik di Sungai Kim-Kim, Pasir Gudang di Johor.

“Kerajaan negeri seakan-akan gagal menangani isu terbabit dan mengkategorikannya sebagai ‘amat berbahaya’ selepas dimaklumkan mengenainya.

“Hanya selepas ramai pelajar sekolah di kawasan terbabit dibawa ke hospital dalam keadaan serius, barulah kerajaan negeri bertindak,” kata Shamsul Anuar kepada Utusan Malaysia hari ini.

Seramai 506 mangsa baharu pencemaran toksik di Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, Johor direkodkan hari ini, sekali gus menjadikan keseluruhannya kini berjumlah 975 orang.

Daripada jumlah itu, seramai 166 daripadanya telah dimasukkan ke dalam wad dan sembilan daripada mereka ditempatkan dalam Unit Rawatan Rapi (ICU).

Berikutan pencemaran toksik yang berlaku di daerah itu sejak seminggu lalu, Kementerian Pendidikan semalam mengarahkan seluruh sekolah di Pasir Gudang ditutup serta-merta.

Menurut Shamsul Anuar, pencemaran yang semakin kritikal itu membabitkan ribuan pelajar yang mula menduduki peperiksaan penggal pertama sejak kelmarin.

“Apakah langkah lanjut Kementerian Pendidikan dan kerajaan negeri dalam menangani tragedi ini? Rakyat mahu tahu kerana mereka resah gelisah seolah-olah tiada jalan penyelesaian.

“Kita ingin melihat kesihatan pelajar dan penduduk terbabit diberi keutamaan dan khidmat semua pakar yang ada digembleng sepenuhnya,” katanya.

Tegas beliau, tragedi itu adalah pengajaran kepada semua pihak mengenai pentingnya ‘crisis management team’ diwujudkan dan diletakkan dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi segala kemungkinan.

Menurutnya, apa yang dikesalkan ialah ketidakpedulian awal apabila krisis itu berlaku, seolah-olah ia boleh pulih sepenuhnya dalam masa yang singkat.

Kata beliau, “Langkah membuka semula beberapa sekolah yang diarah tutup rupa-rupanya mengundang bencana yang lebih dahsyat.

“Tragedi ini bukan saja mengancam nyawa manusia malah mencemari alam sekitar. Janganlah bertindak apabila berlaku kematian dan kadar kemusnahan besar dalam sesuatu malapetaka.” - UTUSAN ONLINE