Sepanjang berucap hampir sejam dalam program Sembang Santai Bersama Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Pengerusi Pakatan Harapan Kedah itu hanya menyentuh mengenai janji Pakatan Harapan yang diketuai DAP untuk menghapuskan cukai barang dan perkhidmatan (GST) jika memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Selain itu, Mukhriz hanya mengungkit kemajuan negara khususnya di Kedah berlaku di­sebabkan jasa bapanya sepanjang menjadi Perdana Menteri yang mana seolah-olah dilakukannya secara individu tanpa kerajaan Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO.

“Selama 22 tahun kita menyaksikan pembangunan yang besar di negara kita termasuklah Kedah Darul Aman ini, kerajaan Malaysia dipimpin Tun Dr. Mahathir Mohamad yang juga Pengerusi Pakatan Harapan hari ini. Bab itu mereka tak habaq (beritahu), sengaja nak bagi kita lupa. Mereka cuba nak buang daripada ingatan kita.

“Yang ini, tiada siapa di Kedah boleh lupa bahawa bermacam-macam pembangunan kita dirasai di Kedah seperti penubuhan dan pembinaan Universiti Utara Malaysia (UUM), lebuh raya, pelbagai kemudahan di negeri ini yang berlaku antara 1981 hingga 2003.

“Selepas 2003, tiada apa dah (pembangunan), pembangunan di Langkawi pun berlaku dalam tempoh 22 tahun itu. Waktu negara dipimpin Tun Dr. Mahathir dan kalau itu buat kita rasa kenang budi dia, tuan puan berpeluang sekali lagi menunjukkan sokongan kepada dia kerana Tun Dr. Mahathir telah dinamakan sebagai calon Perdana Menteri Pakatan Harapan,” katanya di Kampung Bukit Kechik Jabi di sini semalam.

Program berkenaan bagai­ma­na­pun gagal menarik kehadiran penduduk kerana hanya dihadiri lebih kurang 150 orang sahaja.