Dalam isu itu rata-rata menghormati pilihan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail untuk melantik Datuk Seri Azlan Man sebagai Menteri Besar bagi penggal kedua sekali gus meminta pihak-pihak terlibat tidak sehingga sampai menghina institusi diraja.

Antara pengguna laman sosial yang memberi komen ialah Asmadi Saad yang meminta Datuk Seri Shahidan Kassim agar tidak menggunakan perkataan rakyat untuk menjustifikasikan sokongan terhadap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri itu.

“Tolong gunakan perkataan segelintir rakyat kerana sebagai rakyat, saya 1000 peratus tidak menyokong tindakan anda (mempersoalkan pelantikan Menteri Besar) dan bersama Tuanku (Syed Sirajuddin),” katanya.

Dalam kenyataan yang dimuat naik Shahidan semalam, beliau berjanji kepada orang Perlis untuk memperjuangkan hak demokrasi iaitu parti yang memenangi pilihan raya (Pilihan Raya Umum Ke-14) mestilah boleh memerintah.

Shahidan meminta rakyat Perlis mendoakan beliau segera sembuh untuk memperjuangkan hak dan amanah orang Perlis.

Turut memberi komen ialah Azmeer Gbunthai yang menyifatkan bahawa pihak terlibat dalam isu itu sebagai gila kuasa dan tergamak menderhaka kepada Raja Perlis.

Adie Redzuan pula menegaskan bahawa dalam isu itu seluruh rakyat Perlis berdiri teguh di belakang Tuanku Syed Sirajuddin dan menyatakan kesetiaan kepada Raja dan negara.

Seorang lagi, Shahrudi Abidin menyatakan rasa malu ekoran perebutan kuasa, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan dan meminta supaya satu pilihan raya diadakan semula.

Shahmin TK mempersoalkan motif Shahidan memecatkan Azlan, malah menyatakan bahawa kuasa mutlak pelantikan Menteri Besar terletak dalam tangan Tuanku Syed Sirajuddin.

Haziq Asyraf pula menyatakan UMNO yang dikatakan memperjuangkan agama, bangsa dan negara telah menghina Tuanku Syed Sirajuddin.

Isu pelantikan Menteri Besar mendapat perhatian meluas media-media massa kerana sebaik sahaja Azlan diperkenankan Tuanku Syed Sirajuddin untuk memegang jawatan nombor satu negeri itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bintong tersebut dipecat keahliannya.

Pemecatan itu diumumkan oleh Shahidan yang mengadakan sidang akhbar di ibu negara bersama wakil-wakil rakyat daripada Barisan Nasional (BN).

Berikutan itu, istiadat pelantikan Menteri Besar pada masa sama berlangsung dalam keadaan kurang sempurna kerana tidak dihadiri oleh seorang pun wakil rakyat daripada BN, yang dipercayai memboikot pelantikan Azlan. - UTUSAN ONLINE