Perkara ini sudah pun dibangkitkan oleh pegawai kanan Bank Dunia di Malaysia sebelum ini lagi dengan ada lima soalan utama apa yang akan dilakukan bagi menampung kekurangan hasil.

Memansuhkan GST memang ibarat pucuk dicita ulam mendatang bagi rakyat kerana sifatnya, iaitu apa sahaja pembelian sama ada oleh orang miskin atau kaya tetap akan dikenakan cukai enam peratus kecuali barangan dalam senarai pengecualian.

Cukai jualan dan perkhidmatan (SST) pula secara mudah adalah sebaliknya, hanya barang disenaraikan sahaja dikenakan cukai dan oleh itu cukai berkenaan tidaklah sehandal GST dalam memberi hasil kepada kerajaan.

Maka antara langkah boleh diambil kerajaan adalah memperkenalkan cukai baharu selain berjimat-cermat tetapi persoalannya, kepemimpinan negara tidak mahu rakyat terbeban. Jadi, cukai apa yang tidak memberi kesan kepada orang ramai? Ini yang cetus persoalan.

Apa pun, mengambil pengajaran daripada GST, cukai baharu itu haruslah diambil daripada orang kaya, bukannya rakyat kebanyakan apatah lagi berpendapatan 40 peratus terendah (B40) yang masih bergelut untuk kelangsungan hidup.

Ini seperti disebut tokoh ekonomi, Dr. Muhammed Abdul Khalid dalam sebuah rancangan di RTM1 yang tular menjelang bajet tahun lalu - ada sebahagian polisi cukai negara ini ‘sayang orang kaya’, sedangkan orang miskin beli makan, beli barang kena cukai menerusi GST.

“Orang kaya, kita sayang. Mereka jual beli saham, cukai dia kosong, Dia jual hartanah selepas lima tahun, cukai kosong. Bapa yang kaya bagi duit dekat anak, cukai kosong.

“Cukai di Malaysia lebih menekan orang susah,” katanya dalam rancangan berkenaan tahun lalu yang menjadi tular kerana menepati apa dirasai rakyat bawahan.

Maka, tanda tanya apakah cukai baharu, mungkin itulah gambarannya kerana Dr. Muhammed kini adalah Penasihat Ekonomi Perdana Menteri dan yang penting, ramai mahu ia terarah kepada orang kaya. - UTUSAN ONLINE