Ini kerana perbuatan tersebut seolah-olah memberi gambaran isu perkahwinan kanak-kanak serta pedofilia berlaku secara berleluasa tanpa kawalan di Kelantan sedangkan fakta menunjukkan sebaliknya.

Fakta tersebut bukan sahaja ‘sudah berada di tangan’ beliau sebagai seorang ahli Parlimen, malah sebenarnya beliau sendiri yang mengemukakan soalan bertulis kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail di Parlimen pada 18 Julai dahulu.

Maknanya, Kasthuri sememangnya sudah tahu bahawa statistik perkahwinan bawah umur di Kelantan pada tahun 2017 adalah jauh lebih rendah daripada negeri beliau sendiri, Pulau Pinang.

Dalam data yang dikemukakan Wan Azizah, jumlah kanak-kanak bawah umur bukan Islam yang berkahwin dengan pasangan dewasa di Pulau Pinang sebanyak 38 orang, manakala di Kelantan hanya empat orang.

Malah, Kelantan mencatatkan jumlah ketiga terendah selepas Terengganu dan Perlis.

Tiada data dinyatakan tentang pecahan perkahwinan kanak-kanak Islam mengikut negeri, namun secara keseluruhannya, lebih ramai kanak-kanak bukan Islam yang kahwin bawah umur iaitu seramai 968 orang berbanding 877 kanak-kanak Islam.

Mungkin Kasthuri ‘berang’ kerana salah satu resolusi yang dicapai dalam Persidangan Meja Bulat Perkahwinan Bawah Umur : Penilaian dan Pendekatan Holistik pada 27 November lalu menyatakan nikah bawah umur wajar dan selaras dengan hukum syarak malah menjadi satu ke­perluan di Kelantan sebagaimana termaktub dalam peruntukan Seksyen 8 Enakmen Keluarga Islam Kelantan 2002.

Namun, beliau perlu faham bahawa dalam seksyen dan enakmen yang sama, wujud mekanisme kawalan terhadap perkahwinan bawah umur iaitu ia perlu mendapat keizinan bertulis mahkamah syariah terlebih dahulu. Syarat ini sekali gus memastikan perkahwinan bawah umur hanya boleh dilangsungkan dengan alasan yang perlu dan munasabah.

Sebagai seorang ahli Parlimen, Kasthuri seharusnya berhati-hati dalam membuat kenyataan seperti kata pepatah, cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar. - UTUSAN ONLINE