Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mangsa yang terbunuh adalah dari dalam kalangan umat  Islam dan pelaku atau penembak pula dari bukan Islam.

Beliau yang mengutuk sekeras-kerasnya serangan terhadap umat Islam kesal dengan kenyataan pemimpin DAP tersebut walaupun telah menarik balik laporan yang disiarkan dalam sebuah portal berita tempatan.

“Apa jua alasan serangan itu , kita mengutuk sekeras-kerasnya disamping mengharapkan keadaan saudara Islam di New Zealand dan rakyat Malaysia khususnya berada dalam keadaan yang terkawal dan selamat.

“Cuma saya amat kesal dalam insiden sebegini ada pihak melihat dari sudut yang salah seperti Chong Sin yang mengaitkan Penyatuan Ummah UMNO dan Pas. Apa kaitannya?” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Memetik laporan portal Malaysiakini, Song Sin mendakwa insiden tembakan di Christchurch menjadi pengajaran kepada Malaysia perlunya mengekang gejala ekstremisme.

Chong Sin turut bimbang kerjasama UMNO dan Pas mampu menimbulkan naratif berkisar mengenai isu kaum dan agama. Bagaimanapun kenyataan itu ditarik balik.

Ismail menyifatkan kenyataan ADUN Mengkibol itu kononnya penyatuan kedua-dua parti tersebut dibimbangi boleh menimbulkan kecenderungan politik agama dan kaum semata-mata.

Katanya, kebimbangan pemimpin DAP itu didakwa menimbulkan naratif berkisar mengenai isu agama dan kaum merupakan pandangan yang mencerminkan kebimbangan sebenar parti tersebut kepada penyatuan Islam Melayu Malaysia yang bakal menguburkan politik jahat mereka.

“Pertanyaan saya kepada pemimpin-pemimpin DAP ialah kenapa mereka harus bimbang kepada penyatuan islam melayu ini?

“Apakah sejarah dibeberapa kerajaan negeri yang selama ini diperintah oleh BN (UMNO sebagai parti dominan) dan Pas di Kelantan,Terengganu sebelum ini di Kedah serta Perak telah membuktikan rakyat bukan Melayu dan Islam tidak pernah diabaikan atau menjadi mangsa kezaliman  kepada pemerintahan dua parti Islam Melayu terbesar negara ini,” ujarnya.

Katanya, tidak seharusnya insiden berlaku di negara luar dikaitkan dengan perkembangan politik negara ini yang jauh berbeza.

“Kebimbangan ini bukan kebimbangan rakyat tetapi kebimbangan pemimpin DAP yang tahu mereka akan kehilangan kuasa satu hari nanti apabila penyatuan ummah itu berjaya menyatukan seluruh Islam dan Melayu.

“DAP bakal kehilangan sokongan dibanyak tempat dan bakal kehilangan kuasa yang mereka nikmati hasil daripada perpecahan Islam Melayu yang mereka cipta. Jelas kenyataan biadap itu merupakan pemikiran rasis dan anti-Islam dari pemimpin-pemimpin DAP,” ujarnya.

Menurutnya, keamanan dan nikmat bernegara inilah MCA dan MIC masih bersama BN sehingga kini dan bukti bahawa penyatuan ummah UMNO dan Pas tidak mengetepikan rakan bukan Islam menjadi sebahagian rakan seperjuangan untuk membina negara majmuk dari pelbagai kaum serta agama.

Sehubungan itu, beliau menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) melihat provokasi ini sebagai satu perkara serius yang harus ditangani dengan segera. – UTUSAN ONLINE